GAMBAR mayat bayi cukup sifat ditinggalkan depan pintu pagar sebuah masjid di Jalan Tepi Sungai, Sg Bertih, Klang tersebar di laman sosial, semalam.
Bersama mayat si kecil yang terjulur kakinya di sebalik balutan kain kasa yang biasa digunakan di hospital, kelihatan not wang tunai RM10 dan RM5 serta sekeping nota bertulisan tangan.
Nota tersebut berbunyi: “Assalamualaikum. Maaf saya minta tok imam kebumikan mayat anak saya secara Islam. Terima kasih.”
Penyebaran gambar tersebut mengundang kecaman ramai netizen yang beranggapan bayi tersebut merupakan satu lagi kes pembuangan bayi yang dilakukan individu tidak bertanggung jawab iaitu ibunya sendiri.
Antaranya termasuklah pengguna Facebook Nana Jaapar, yang berkongsikan gambar ini di laman sosial miliknya.
“Ayah kata baru terjadi dekat Sungai Berteh Jalan Tepi Sungai. Agaknya siapalah punya kerja. Hmmmm sabar je lah. Tengok ayah angkat baby ni rasa sayu je hati. Ayah pesan adik jangan buat macam ni berdosa besar. Adik pun tak sanggup nak buat macam ni haihhhhh,” tulis Nana.
Nana dipercayai anak kepada anggota polis yang memegang mayat bayi dalam gambar yang tersebar.
Dalam ruangan komen pada postingnya, Nana meluahkan pendapat ada baiknya berbaik sangka dengan ibu bayi ini kerana tidak mustahil juga, anaknya telah meninggal dunia akibat keguguran dan mengikut hukum Islam, mayat yang sudah sempurna sifatnya mesti dikebumikan mengikut syarak. –Kedahnews.com