MCKK, BASIS Juara Bahas Piala Perdana Menteri Ke-43


KUALA LUMPUR – Sekolah Menengah Sains Banting (BASIS) dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dinobatkan sebagai johan Bahas Piala Perdana Menteri Ke-43, masing-masing bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Aminuddin Baki Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu di sini semalam, MCKK mengekalkan kejuaraan tiga kali berturut-turut apabila menewaskan Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS) dengan membahaskan tajuk ‘In The Name Of Humanity, All Countries Should Take In Refugees That Suffer From Humanitarian Crisis’.

Manakala BASIS yang menang julung kali menewaskan Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan (TKC) dengan tajuk ‘Teknologi Mekanisme Terbaik Membanteras Jenayah’.

Pembahas MCKK, Amir Aniq Abdul Hazis muncul sebagai Pembahas Terbaik Bahasa Inggeris bagi kali ketiga berturut-turut, manakala Zulaika Zamaluddin dari BASIS dinamakan Pembahas Terbaik kategori Bahasa Melayu.

Perbahasan itu khusus bagi Sekolah-sekolah Berasrama Penuh.

Juara membawa pulang wang tunai RM4,000, sijil penyertaan dan piala pusingan manakala naib juara menerima RM3,000, sijil dan piala pusingan.

Pembahas terbaik pula menerima wang tunai RM1,000, sijil dan hadiah iringan.

Hadiah disampaikan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Ahli Lembaga Pengarah Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam, Profesor Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Amir Aniq ketika ditemui pemberita berkata beliau tidak menyangka merangkul gelaran pembahas terbaik memandangkan pembahas daripada ASIS tidak kurang hebatnya.

“Anugerah ini amat bermakna bagi saya yang akan meninggalkan MCKK tahun ini selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).”

Bagi Zulaika, beliau bersyukur atas kemenangan ini setelah penat lelahnya terbayar.

“Kemampuan diri adalah berbeza dari segi individu dan saya percaya akan kebolehmampuan diri saya.” – BERNAMA