Media Sosial: Umat Islam Terikat Hukum, Adab

“YA ALLAH, aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat. Kalau yang dicari tidak bermanfaat, maka yang dicari itu ghibah (penyakit buruk hati yang memakan kebaikan) atau namimah (mengadu domba). Kita sering ingin tahu pasal isu orang sekeliling atau memantau orang lain. Jika itu yang dicari, itu tidak boleh,” nasihat pendakwah bebas Indonesia, Subhan Bawazier.

Beliau menyeru umat Islam hari ini supaya lebih berakhlak ketika menggunakan media sosial terutama dalam memanfaatkan kemudahan yang diberikan oleh Allah, lebih-lebih lagi semasa melontarkan pandangan atau berdebat berhubung isu semasa.

Selain menjadikan media sosial sebagai alat bantuan bagi mendalami ilmu agama, masih terdapat hukum dan adab yang perlu dipatuhi bagi mengelak melakukan dosa secara berterusan menerusi kata-kata yang diucapkan atau nota yang ditulis.

Tegasnya, media sosial merupakan satu cabang ilmu pengetahuan yang Allah titipkan kepada manusia untuk tujuan manfaat terutama kepada golongan yang ingin mencari jawapan mudah kepada persoalan yang timbul dalam kehidupan seharian.

“Menerusi media sosial, pastinya ada banyak kemuliaan dan paling tidak, untuk kemudahan dalam agama. Sebagai contoh dalam mengutip dana bagi yang memerlukan. Perkara ini mudah disebarkan menerusi media sosial.

“Meskipun begitu, tidak dinafikan sekiranya berlaku kemudaratan yang lebih banyak daripada kelebihannya. Jika dilakukan untuk menuntut ilmu, ia satu kelebihan. Jika orang itu berakhlak, banyak ilmu yang boleh diraih terutama dalam menyelesaikan maslahah umat Islam,”katanya.

Jelasnya, jika dahulu orang mahu menuntut ilmu dilihat susah kerana terpaksa berbulan-bulan merantau mencari tempat untuk belajar dan bertanya, namun kini menjadi lebih mudah menerusi media sosial.

“Allah telah berikan banyak kemudahan dan jalan menuju kemuliaan akhlak, seperti apa yang terdapat dalam media dakwah. Kemuliaan dalam penyampaian agama yang memudahkan kita faham dengan senang,” katanya.

Tambah beliau, jika ‘berperang’ dalam media sosial, terkadang perkara yang kecil pun menjadi besar, malah sekiranya keadaan diri atau batin yang tidak stabil atau kurang tenang, membaca bahan yang santai pun boleh menjadi ancaman.

Oleh itu, jangan mudah berprasangka buruk. Rasulullah SAW menyuruh umat Islam berakhlak mulia. Dunia di tangan kita. Begitu mudah sama ada kita hendak buat dosa atau pahala.

“Dalam diri manusia ada syahwat dan ia menjurus manusia kepada maksiat. Kemaksiatan itu luas, bukan zina sahaja yang dikatakan maksiat, tetapi membuka atau menceritakan aib orang lain juga maksiat dan mendatangkan dosa,” katanya.

Daripada sebuah hadis sahih iaitu daripada Imam Tirmizi, “Tidak ada sesuatu pun yang paling berat melebihi beratnya timbangan buat orang beriman di hari kiamat nanti daripada akhlak yang mulia.”

“Akhlak adalah perkara yang akhirnya merujuk kepada redanya Allah. Mulut adalah corong hati. Jendela kepada hati adalah penglihatan. Apa racun hati? Racun hati adalah kerana banyak berbicara dan membuatkan hati manusia menjadi keras.

“Jangan kamu banyak berkata-kata, jangan banyak bicara tanpa zikir di dalamnya kerana itu menyebabkan hati kamu menjadi keras. Orang yang paling jauh daripada Allah adalah orang yang paling keras hatinya,” katanya.

Sehubungan itu, umat Islam diingatkan untuk menjauhkan diri daripada zon prasangka kerana prasangka buruk itu satu dosa. Prasangka buruk akan merasuk hati orang-orang beriman dan amalan buruk itu perlu dijauhkan, sekali gus mengundang pelbagai dosa lain termasuk membuat jenayah dan maksiat.

Tegasnya, terdapat lima cara menghilangkan racun hati ketika mana melayari media sosial iaitu banyak berzikir dan membaca ayat-ayat suci al-Quran terutama ketika menjumpai sesuatu yang baharu, seterusnya mengucap kalimah suci Allah. Cara kedua adalah menerusi istighfar, manakala amalan ketiga dan seterusnya adalah membanyakkan doa, berselawat serta melakukan amalan qiyamullail.

Sumber: Utusan