Menang Tipis 1-0, Helang Merah Penuhi Harapan Tan Cheng Hoe


ALOR SETAR - Pasukan Helang Merah berjaya memenuhi harapan jurulatih, Tan Cheng Hoe, apabila mengutip 3 mata penuh menewaskan skuad Tok Gajah dengan jaringan 1 -0, di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Menerima kunjungan pasukan Pahang yang kini berada di antara kedudukan terbawah liga, penyerang import baru Kedah, Shane Smeltz berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-27.

Gol tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan kemenangan itu walaupun tipis, namun telah memperkukuhkan kedudukan Kedah di tangga ke-4 Liga Super musim ini.

Cheng Hoe sebelum itu menyatakan harapan bahawa Kedah berpeluang untuk kekal di kedudukan ke-4 liga sekiranya berjaya menewaskan Pahang sebelum perlawanan bermula.

"Setelah kalah dan seri  pada dua perlawanan lalu kini sudah tiba masa untuk barisan pemain bangkit memastikan tiga mata penuh bukan sahaja untuk mengekalkan tempat keempat malah mengembalikan keyakinan ribuan peminat setia pasukan," katanya.

Walau bagaimanapun, Cheng Hoe menjadi mangsa kritikan ramai peminat pasukan Helang Merah ekoran prestasi pasukan kebanggaan Kedah yang tidak menentu dan kurang konsisten sejak akhir-akhir ini. -Kedahnews.com