MENERAJUI PERUBAHAN: Setahun Di Kementerian Pendidikan Malaysia


Tanggal 28 Julai 2015 merupakan tarikh yang bersejarah bagi diri saya kerana pada hari tersebut saya diberi kepercayaan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menerajui satu kementerian yang mempunyai impak paling besar dalam pembangunan modal insan – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Walaupun bertugas di peringkat pusat bukan sesuatu yang asing kerana pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, namun saya rasakan bahawa tugas ini adalah tanggungjawab yang cukup mencabar.  Saya sedar, bukanlah mudah untuk saya memimpin warga pendidikan dalam menggalas tanggungjawab besar menyediakan pelajar yang bakal berhadapan dengan cabaran masa hadapan yang memang tidak mungkin dapat dibayangkan bagaimana keadaannya nanti.  Namun pengalaman lepas sebagai pendidik dan pemimpin pendidikan dapat menjadi bekalan kepada saya untuk menjalankan tugas di tempat yang baharu.

Ketika melangkah kaki kali pertama di KPM, saya merasa kagum dengan kedua-dua pemimpin kementerian iaitu Tan Sri Dr. Ketua Setiausaha dan Tan Sri Dr. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.  Kedua-dua mereka mempunyai kelayakan akdemik tertinggi, justeru saya yakin bahawa pasukan yang ada di KPM dengan turut dibantu dua timbalan menteri, dapat menyokong saya dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara. Apabila saya dimaklumkan dengan usaha kementerian untuk meningkatkan kualiti pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, saya merasa teruja kerana kita mempunyai pelan yang komprehensif untuk membawa sistem pendidikan kita menjadi antara satu pertiga negara-negara yang mempunyai pendidikan terbaik di dunia.

Saya mengambil serius amanah dan tanggungjawab yang sangat penting ini demi menjamin kualiti pendidikan yang akan melahirkan generasi pemimpin masa akan datang.   Ketika saya mula menjalankan tugas rasmi dengan mengadakan siri lawatan ke sekolah, saya sendiri mendengar luahan golongan pelaksana, daripada guru-guru sendiri, pentadbir sekolah serta ibu bapa dan masyarakat setempat.  Saya dapat melihat perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara – murid di sekolah rendah lagi mempunyai keyakinan untuk berinteraksi dengan saya dan berupaya menerangkan kepada saya mengenai apa yang dipelajari.  Guru-guru lebih banyak memberi ruang dan peluang kepada murid untuk lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka dan pentadbir sekolah dapat memberi sokongan kepada guru walaupun terdapat pelbagai kekangan daripada segi infrastruktur.  Saya percaya Enam Aspirasi Murid – pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional dapat dipupuk dalam kalangan anak-anak warganegara.

Namun begitu hasrat murni ini tidak akan menjadi kenyataan sekiranya pengurus pendidikan tidak menghayati aspirasi PPPM dan mengubah cara bekerja daripada berorientasikan proses kepada berteraskan keberhasilan. Saya sering berkongsi dengan pihak pengurusan di kementerian berkaitan pemerhatian dan pengalaman saya semasa siri lawatan di sekolah atau mana-mana institusi pendidikan di bawah KPM.  Saya membuka seluas-luasnya peluang kepada semua pihak, tidak kira warga pendidikan mahupun masyarakat umum untuk berinteraksi dengan saya di media sosial.  Berdasarkan pemerhatian saya sendiri dan maklum balas yang diterima melalui pelbagai saluran, saya sedar bahawa satu cabaran besar yang dihadapi oleh KPM adalah sesuatu polisi yang cukup mantap daripada segi konsep dan tersusun di atas kertas tidak semestinya dapat dilaksanakan dengan baik di peringkat akar umbi.

Saya ingin mengambil contoh satu aspek yang cukup dekat di hati saya – kebajikan guru.  PPPM 2013-2025 telah menekankan bahawa kualiti guru merupakan penentu di peringkat sekolah yang paling penting bagi keberhasilan murid.  Justeru dalam Gelombang 1, fokus pelaksanaan inisiatif adalah kepada mengubah sistem dengan menyokong guru dan memberikan tumpuan kepada kemahiran utama.  Sebagaimana yang saya telah umumkan dalam Perutusan Tahun Baharu 2016, KPM telah melatih semula lebih 268,589 orang guru dalam perkhidmatan menerusi 5,767 program dan mengukuhkan latihan guru pra-perkhidmatan.  Namun begitu, jika kebajikan asas mereka tidak dijaga, bagaimana guru-guru ini dapat memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak didik mereka?

Antara langkah paling awal yang telah saya ambil adalah untuk menyelesaikan isu guru-guru yang telah bertahun-tahun berjauhan dengan keluarga masing-masing demi tugas.  Saya telah mengarahkan supaya pelaksanaan proses pertukaran hendaklah melalui satu Jawatankuasa Khas dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. KPPM menggunakan mekanisme di luar sistem sedia ada dengan mengambil kira keutamaan permohonan dan elemen kemanusiaan.  Proses pertukaran daripada dua kali setahun juga turut ditambah kepada tiga kali setahun.

Perkara ini sekali pandang mungkin dianggap mudah, namun begitu dengan hampir setengah juta warga pendidik dan dengan lebih 38,000 permohonan melibatkan pelbagai kategori setiap tahun di mana 21,698 daripadanya adalah kes “duka lara”, bukanlah mudah untuk KPM menangani isu ini.  Walau bagaimanapun hasil daripada transformasi pendidikan dan perubahan cara bekerja melalui 11 Anjakan, kementerian telah berjaya menyelesaikan sebanyak 4,267 kes-kes “duka lara” ini sejak saya memegang jawatan Menteri Pendidikan.

Selain itu, saya turut mengambil berat soal beban tugas guru. Rata-rata warga pendidik menegaskan dibebani dengan pelbagai komitmen dan tanggungjawab yang harus disempurnakan berkaitan sistem aplikasi atas talian. Rungutan berkisar kepada masalah capaian internet yang dianggap tidak memuaskan serta tiada akses kepada internet. Untuk mengenalpasti secara lebih dekat dan mendalam, pegawai-pegawai di pejabat saya telah diarah untuk turun padang dan menyediakan satu laporan lengkap bagi dibentangkan kepada saya kelak untuk tujuan penambahbaikan menyeluruh dalam tempoh yang ditetapkan.

Saya sedar bahawa transformasi pendidikan melalui PPPM 2013-2025 merupakan satu proses yang luas dan kompleks.  Jika dibandingkan dengan transformasi pendidikan negara-negara lain, Malaysia akan menjadi antara negara yang terpantas berubah sekiranya kita berjaya mencapai matlamat sepertiga teratas negara-negara terbaik di dunia dalam tempoh 15 tahun.  Dalam usaha kita memberikan pendidikan berkualiti bertaraf dunia, pada masa yang sama kita masih lagi berhadapan dengan masalah kemudahan asas dan pembangunan seperti air terawat dan bekalan elektrik yang terhad.  Cabaran ini tidak seharusnya menjadi kekangan kepada kita, malah kita perlu bergerak sepantas perkembangan teknologi dunia dan bersedia sepuluh langkah ke hadapan.

Seperkara lagi, saya sering bercakap tentang murid-murid kita kini yang merupakan digital natives – anak-anak yang hidup dengan gajet sentiasa di tangan dengan dunia di hujung jari mereka.  Pendidik harus menerima hakikat bahawa peranan mereka kini adalah untuk menyediakan murid hari ini dengan ilmu dan akhlak untuk mendepani masa hadapan.  Anak-anak ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa bimbingan dan pengawasan.  Oleh kerana 25% masa mereka dihabiskan di sekolah, pendidik harus berganding bahu dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta bagi memastikan mereka tidak diabaikan untuk 75% masa mereka di luar sekolah.

Dalam hal ini, pemimpin pendidikan juga memainkan peranan untuk mewujudkan pesekitaran sekolah yang kondusif bagi mencapai matlamat pendidikan yang ditetapkan.  Setelah tiga tahun PPPM 2013-2025 dilaksanakan,  banyak kisah pencetus inspirasi tentang pemimpin pendidikan yang berupaya mengubah sekolah ataupun institusi pendidikan masing-masing menjadi tempat yang kondusif  bagi membentuk insan holistik selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Saya sendiri berpeluang berjumpa dengan pengetua dan guru besar yang mengambil langkah berani mengubah bukan sahaja lanskap pendidikan di sekolah malah berupaya mengubah paradigma masyarakat sekeliling untuk sama-sama membantu demi masa hadapan anak-anak yang lebih gemilang.

Kita berhadapan dengan masyarakat yang sangat bermaklumat – dan perkongsian maklumat ini berlaku dengan begitu pantas sekelip mata.  Kementerian memang sentiasa berhadapan dengan pelbagai kes pendidikan yang diviralkan dengan begitu cepat.  Saya dan rakan-rakan di KPM tidak berupaya untuk menghalang sebarang maklumat daripada disebarkan, namun saya ingin menyeru kepada semua supaya menggunakan media sosial ini dengan berhemah.  Saya sendiri menggunakan platform media sosial untuk mendekati warga pendidikan dan masyarakat, kerana platform ini boleh memberi peluang kepada semua untuk berinteraksi secara maya dengan saya.  Saya sangat menghargai komen dan kritikan yang membina demi kebaikan sistem pendidikan negara.

Setelah setahun saya memimpin KPM, saya menerima tanggungjawab bahawa kita warga pendidikan adalah pemegang amanah yang akan menentukan masa hadapan anak-anak dan cucu kita, generasi Malaysia yang seterusnya melahirkan Negara Bangsa. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.  Saya dan pihak pengurusan di KPM menyanjung usaha murni semua pihak demi memartabatkan sistem pendidikan negara dan kami akan sentiasa memberikan sokongan bagi menjayakan usaha ini.  Saya sendiri komited untuk terus memberi sokongan penuh dalam pelaksanaan PPPM 2013-2025.  Saya yakin dengan usaha kolektif kita sebagai satu keluarga besar KPM, kita berada di landasan yang terbaik untuk MENERAJUI PERUBAHAN. “PENDIDIKAN ITU KEGEMBIRAAN, KEBAJIKAN DAN KETERBUKAAN”.