"Mengapa Tak Pakai Tudung? Itu Hak Mereka.." – TMJ


MENERUSI program bual bicara santai, Obviously Harith Iskander (OHI) yang disiarkan semalam, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertahankan tindakan sesetengah wanita Muslim yang tidak bertudung.

Menurut beliau, seseorang wanita itu tidak berhak diadili hanya kerana mereka memilih untuk tidak memakai tudung.

“Dalam agama, tiada siapa yang berhak mengadili seseorang individu, tiada siapa yang berhak mengatakan anda akan ke syurga atau anda akan ke neraka. Itu kerja Tuhan,” ujar beliau.

TMJ menyatakan pendapat beliau ketika ditanya hos, Harith Iskander mengenai sikap prejudis sesetengah individu berhubung isu tersebut.

“Ya, isteri dan adik saya sering mendapat persoalan, ‘mengapa tak pakai tudung?’ Itu hak mereka. Mereka bukan buat sesuatu yang tidak senonoh, mereka hanya memilih untuk tidak memakai tudung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bahagian kedua OHI di Astro Awani yang disiarkan pada Sabtu, 9.30 malam.

Dalam episod terdahulu, TMJ menegaskan tiga aspek penting tidak boleh dikaitkan dengan politik iaitu pendidikan, agama dan perniagaan kerana jika ‘dicemari’ politik, maka gejala rasuah akan lebih senang berleluasa di negara ini. –Kedahnews.com