Misha Omar Berdebar Tunggu Kelahiran Anak Pertama


Penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, Misha Omar berdebar menghitung hari saat-saat untuk melahirkan cahaya pertamanya.

Misha atau nama penuhnya Samihah Omar, 34; berkahwin dengan seorang juruterbang, Firos Ezzwan Rosly pada Mei 2014 sebelum ini telah mempunyai dua orang anak angkat iaitu Muhammad Adam Emir, 10; dan Humaira Lateefa, 4.

Penyanyi yang melonjak naik menerusi lagu Bunga-bunga Cinta (BBC) suatu ketika dahulu berkata, kandungannya itu dijangka lahir pada bulan September atau selewat-lewatnya Oktober.

“Sekarang ini saya memang berdebar-debar menuggu masa ketibaan si kecil yang dijangka lahir pada bulan hadapan atau selewat-lewatnya Oktober.

“In Sha Allah saya mengambil kesempatan ini meminta semua mendoakan semuanya selamat,” katanya kepada BH Plus.


Meskipun berada di fasa-fasa terakhir kehamilan tanpa kehadiran suami tercinta kerana mencari rezeki. Misha tetap bersyukur kerana adanya teman rapat dan keluarga serta anak-anak di sisinya.

“Dalam keadaan sarat begini, kita tidak boleh bersendirian kerana akan mengundang tekanan. Apabila terjaga di tengah malam, saya mengejutkan keluarga dan anak-anak yang berada di sisi bagi mendapatkan sokongan,” jelasnya.

Manakala perkembangan terbaru penyanyi ini pula, dia baru sahaja selesai merakamkan lagu duet bersama Adibah Noor berjudul Jiwa Sentuh Jiwa. – Kedahnews.com