MO1: Saya Hanya Jawab Berdasar Soalan Rakan FB - Ir. Nawawi


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Langkawi, Dato' Ir Nawawi Ahmad menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mengatakan beliau menyamakan "Malaysia Official 1" (MO1) dengan Yang DiPertuan Agong, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Tegasnya, beliau bukanlah seorang yang tidak tahu berfikir dengan waras untuk menyatakan sedemikian terhadap Yang DiPertuan Agong, sebaliknya beliau hanya menjawab soalan seorang rakan Facebook yang bertanyakan persoalan mengenai MO1 dari konteks Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Sebenarnya, ianya tidak benar. Kerana saya menulis itu bergantung kepada soalan yang dibuat oleh kawan FB saya, nama dia Allan Mor yang bertanya di atas itu siapakah MO1 dalam laporan PAC.

"Jadi saya nak jawab, tentang kawan saya ni hanyalah discussion di antara saya dengan kawan dalam Facebook, bukan saya buat pengumuman di luar. Apabila kita lihat dalam laporan PAC, kita lihat tidak ada satu perkataan pun tentang MO1.

"Apabila (MO1) tidak ada dalam laporan PAC, maka saya beranggapan bahawa ini adalah berkenaan dengan negara kita. Jadi saya mengolahkan pemahaman saya siapakah MO1 itu mengikut Perlembagaan Negara," tegas beliau, menjelaskan kekeliruan dan salah faham mengenai perkara berkenaan.
Nawawi turut membuat satu laporan polis hari ini bagi mempertahankan diri dari dakwaan putar belit yang sengaja dikontroversikan di media sosial baru-baru ini.
Nawawi turut menganggap mereka yang memutar belitkan kenyataan beliau di Facebook tersebut sebagai pendusta yang cuba mencari kesalahannya, namun hanya memetik tulisan tertentu tanpa menjelaskan perkara sebenar dari awal perbualan di Facebook tersebut.

"Saya menyangkal kata-kata dusta oleh mereka-mereka itu yang mengatakan bahawa saya menyamakan MO1 (yang disebut) DOJ dengan Tuanku Sultan (Yang DiPertuan Agong), tidak!," tegasnya ketika mengadakan sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, di sini sebentar tadi.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh dari Ahli Parlimen Langkawi itu yang dibawa secara langsung oleh Kedahnews.com sejurus beliau tiba di lapangan terbang, petang tadi. -Kedahnews.com