Mohd Najib Ingatkan 3 Elemen Tradisi Pusaka UMNO


SUNGAI PETANI - Datuk Seri Najib Razak menggariskan tiga elemen utama untuk memperkukuhkan UMNO dari segi dalaman, demi memastikan kelangsungan parti untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri berkata, selain dedikasi yang diakui turut menjadi kunci kejayaan jaguh pecut terpantas dunia, Usain Bolt, dua lagi elemen dikenal pasti ialah kesetiaan dan menghayati perjuangan sebenar UMNO.

"Apabila disebut dedikasi, ia bermakna kita tak boleh 'loy' (leka atau lalai) dalam perjuangan kerana dengan semangat dedikasi kita akan jadi ahli dan pemimpin yang komited kepada tugasan dan perjuangan.

"Kita perlu lihat kepada soal dalaman dahulu, harus bertanya pada diri kita apakah nilai perjuangan yang perlu kita jadikan sebagai darah daging dan bagaimana ia boleh dibudayakan untuk memastikan kita sebagai pemimpin UMNO mendapat keyakinan rakyat secara rasmi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Muafakat Kedah Pemimpin Bersama Rakyat sempena perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani di sini, petang tadi.

Yang turut hadir ialah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad.

Mengenai kesetiaan, Perdana Menteri berkata, ia suatu yang dianggap nilai paling tinggi perlu dimiliki ahli serta pemimpin UMNO dan di Kedah sendiri, Ahmad Bashah boleh menjadi contoh yang paling baik.

"Kita boleh cari orang pandai yang ada kelulusan tinggi, tetapi kalau tak ada nilai kesetiaan apa guna kelulusan berjela-jela. Tanpa kesetiaan, matlamat peribadi kita bercampur dan apabila cita-cita peribadi tak kesampaian, kesetiaan tak lagi menjadi pegangan.

"UMNO berdiri atas nilai seperti ini dan semangat kasih kepada parti dan perjuangan. Jangan kalau cita-cita peribadi tak tercapai, keluar daripada parti. UMNO bukan parti biasa, tetapi parti keramat ini kita kena tatang demi bangsa kita," katanya.

Sumber: Berita Harian