Mohd Najib Suka Lagu Dakwah Maher Zain


Tidak lengkap rasanya jika bersua dengan selebriti, namun melepaskan peluang merakam gambar selfie bersama sebagai tanda kenang-kenangan.

Kesempatan itu jugalah membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengajak penyanyi antarabangsa, Maher Zain berselfie bersama-sama ketika pertemuan mereka, pada Selasa.

Gambar tersebut dimuat naik Najib menerusi laman Twitter dan Facebooknya.

Selain itu, Najib mengakui menyukai lagu-lagu penyanyi keturunan Lubnan itu kerana mempunyai mesej dakwah.

“Maher Zain berkongsi dengan saya album baharu beliau tadi, suka saya lihat lagu-lagu di dalamnya masih membawa mesej dakwah yang mengajak umat Islam ke arah kebaikan.

“Semoga kita semua memperoleh rahmat Allah SWT, Insya’Allah,” katanya dalam catatan Twitter dan Facebooknya, semalam.

Antara lagu Maher Zain yang mendapat tempat di hati rakyat Malaysia adalah ‘Thank You Allah’, ‘Insha Allah’, dan banyak lagi. –Kedahnews.com