Motorsikal Bertembung Bas Kilang, 2 Pekerja Kilang Maut


SUNGAI PETANI - Dua pekerja kilang wanita maut selepas motosikal mereka bertembung dengan sebuah bas kilang di Jalan Mail 1, Kawasan Perindustrian Bakar Arang di sini pagi semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai R. Gowari, 34, dan S. Valarmathi, 42, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, dalam kejadian pada 7.05 pagi itu, motosikal ditunggang Gowari dari arah Taman Sejati Indah dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan bas kilang yang datang dari arah bertentangan.

"Motosikal mangsa turut terseret akibat kemalangan itu. Namun pemandu bas kilang itu seorang lelaki berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama