Mufti Perlis Sangkal Dakwaan Dirinya Penggerak Wahabi

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menafikan dakwaan beliau sedang berusaha mengembangkan fahaman wahabi di Malaysia.

Beliau turut menafikan dakwaan dirinya anti kerajaan dan menyokong perhimpunan haram oleh penyokong pembangkang di ibu negara kelmarin.

“Veteran UMNO menuduh DrMaza (Mohd. Asri) anti kerajaan dan sebar wahabi. Beliau memfitnah kononnya DrMaza menyokong demonstrasi pro-DAP di Sogo.

“Entah dari mana maklumat yang beliau ambil? Mungkin mahkamah boleh menentukan nanti,” katanya dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Mohd. Asri turut mendakwa tuduhan yang dilemparkan ke atasnya itu seperti ayat seseorang yang pernah menipu dalam tesis.

“Apabila disemak, rupanya beliau ada hubungan dengan Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja),” katanya dipercayai merujuk kepada Presiden Aswaja, Ustaz Zamihan Mat Zin.

Semalam, Veteran UMNO mendakwa Mohd. Asri seorang pemimpin wahabi yang sedang berusaha keras untuk mengembangkan fahaman itu di Malaysia.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub mendakwa, Mohd. Asri adalah penggerak utama wahabi di Malaysia dan perkara itu boleh dilihat melalui tindak tanduknya selama ini.

Beliau mendakwa, Mufti Perlis itu bagaimanapun dilindungi seorang menteri di peringkat kerajaan pusat.

Justeru, katanya, Veteran UMNO mendesak kerajaan Perlis mengkaji semula perlantikan Mohd. Asri sebagai mufti negeri itu.

Veteran UMNO bimbang sekiranya pengaruh wahabi tidak dibendung,Malaysia akan berdepan dengan masalah akidah yang boleh membawa kepada perpecahan umat Islam.

Mustapha turut mengingatkan UMNO dan kerajaan Persekutuan bahawa Mohd. Asri merupakan golongan anti-kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dakwanya, Mohd. Asri kini mengukur pengaruhnya dalam kalangan generasi muda kerana yakin golongan itu yang akan menentukan menang atau kalah Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

“Mohd. Asri akan menggunakan pengaruhnya untuk menghasut golongan muda,” dakwanya.

Mustapha turut menyarankan Mohd. Asri meletakkan jawatan dan menyertai parti poitik pembangkang dan bertanding dalam pilihan raya.

Laman Facebook Mohd. Asri kelmarin memuat naik satu status yang seolah-olah menyokong perhimpunan haram anti-kerajaan di ibu negara semalam.

Kenyataan yang dipercayai dibuat oleh Mohd. Asri itu berbunyi, “Kibarkan jalur gemilang kita, bangkitlah membela amanah bernegara, tahniah mahasiswa!”

Perhimpunan bertemakan #Tangkap MO1 yang kononnya anjuran golongan mahasiswa itu sebenarnya dirancang oleh pemimpin pembangkang termasuk Parti Amanah Negara (PAN). – Kedahnews.com