Muntah-Muntah Lagi, Ezad Sekali Lagi Ditahan Di Wad


SEKALI lagi, pelakon popular Ezad Lazim terpaksa dimasukan ke sebuah hospital berikutan mengalami muntah yang kerap.

Menurut penyanyi Demi Cinta, dia dimasukkan ke hospital sejak Isnin lalu selepas mengalami muntah-muntah setelah selesai mengadakan persembahan di Klang, Selangor.

“Sebenarnya sebelum itu lagi saya sudah rasa tidak sedap badan kerana selepas makan pasti akan muntah. Sekarang saya terpaksa makan dalam jumlah yang sedikit.

“Mungkin masalah ini berulang akibat saya tersalah makan. Saya masih lagi makan ubat yang dibekalkan ketika menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Kedah sebelum ini,” katanya, memetik Harian Metro.

Pada Julai lalu, Ezad dua kali dimasukkan ke hospital akibat masalah yang sama.

Susulan itu, pemenang ketiga program Gegar Vaganza ini berhasrat untuk mengambil cuti dan berehat.

“Doktor meminta saya lebih banyak berehat dan jangan terlalu banyak berfikir kerana ia boleh menjejaskan kesihatan saya. Mungkin saya akan berbincang dengan isteri, Nor Zeana Ramli untuk mengehadkan aktiviti nyanyian selepas ini.

“Dalam keadaan kesihatan begini, saya perlu ada masa untuk diri sendiri pula,” katanya.

Namun begitu, kami difahamkan bahawa Ezad telah dibenarkan keluar dari hospital berkenaan pada sebelah malam semalam. – Kedahnews.com