Mustafar Perjelas Isu Tunggu Lama Urusan Pasport


KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen mendakwa orang ramai terpaksa menunggu lama untuk menyelesaikan urusan pasport mereka di Jabatan Imigresen Putrajaya semalam ekoran laporan yang tidak tepat oleh beberapa akhbar tempatan pada 29 Julai lalu.

Ketua Pengarahnya yang baharu, Datuk Seri Mustafar Ali mendakwa, beberapa akhbar tempatan melaporkan proses permohonan pasport akan mengambil masa selama enam bulan untuk diselesaikan disebabkan masalah kekurangan bekalan paspot oleh pembekal.

“Imigresen mengambil serius laporan tersebut yang menyebabkan situasi panik dalam kalangan orang ramai. Susulan daripada laporan tersebut, pejabat pasport seluruh negara dibanjiri orang ramai untuk membuat permohonan sama ada permohonan baharu atau memperbaharui pasport.

“Untuk makluman, walaupun Pasport Malaysia Antarabangsa sedang dalam proses transisi kepada pasport versi baharu dan menghadapi sedikit masalah penghantaran, namun imigresen sentiasa memastikan bekalan pasport tidak terganggu. Permohonan pasport sedia ada akan diproses pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Mustafar berkata, rekod pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa adalah yang terbaik berbanding negara lain dan penyerahan pasport dalam tempoh satu jam selepas bayaran adalah yang pertama diperkenalkan di dunia.

Malah, dakwa beliau, negara maju mengambil masa selama dua minggu hingga tiga bulan bagi mendapatkan pasport.

Justeru, beliau meminta orang ramai mengelak daripada membuat permohonan pada saat akhir kerana boleh mengundang masalah yang lebih besar kepada mereka jika pasport tidak dapat diproses pada hari sama akibat lambakan orang ramai di pejabat pasport.

“Sehubungan itu, dinasihatkan orang ramai tidak panik di atas isu ini dan memberi ruang kepada imigresen menangani isu ini dengan berkesan,” katanya. – Kedahnews.com