Nafi Penyokongnya Punca Kekecohan, JDT Selar PAFA


KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan dakwaan penyokong pasukan itu punca kekecohan di Stadium Ipoh selepas tamat perlawanan antara JDT dan Perak, malam semalam.

Laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers (JST) dalam satu kenyataan sebaliknya mendakwa kekecohan itu berlaku disebabkan provokasi oleh penyokong pasukan tuan rumah, Perak.

Sehubungan itu, JST menyelar pengurusan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) kerana didakwa gagal mengawal keselamatan penyokong JDT dalam perlawanan Liga Super 2016 malam semalam.

“Sebaik wisel penamat ditiupkan, penyokong JDT yang bersorak kemenangan telah diancam dan dibaling objek keras oleh penyokong tuan rumah sehingga menyebabkan kecederaan berlaku dan para penyokong pelawat terpaksa ditempatkan di tengah padang bagi melindungi diri.

“Selain itu, bas penyokong juga telah diserang sewaktu perjalanan pulang manakala perkara paling memalukan adalah sewaktu lagu Bangsa Johor dinyanyikan, penyokong tuan rumah telah memperlekeh, mengejek serta melaungkan sorakan ‘JDT bangsat’ di mana ianya tidak harus berlaku,” kata kenyataan itu.

JDT seterusnya membidas wakil media kerana menuduh kamera mereka dicuri penyokong JDT kerana pemeriksaan ke atas setiap penyokong JDT di dalam stadium tidak menemui kamera tersebut.

“Setelah semua penyokong JDT ditahan dan diperiksa seorang demi seorang dan kamera tidak dijumpai, tiba-tiba wakil media terbabit menyatakan sudah jumpa kamera tersebut.

“Cukup-cukuplah membuat fitnah kepada penyokong JDT. Pihak keselamatan pula hanya memperuntukkan kurang 100 anggota polis untuk mengawal keselamatan hampir 35,000 penyokong sedangkan jumlah yang berbeza jika di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin yang akan meletakkan tidak kurang dari 1,000 anggota untuk mengawal keselamatan,” kata kenyataan itu lagi.

Laporan media lewat malam semalam melaporkan, penyokong JDT telah melakukan provokasi ke atas penyokong pasukan tuan rumah selepas pasukan mereka menang 1-0 ke atas Perak.

Penyokong JDT didakwa melempar objek keras dan merusuh di dalam stadium Ipoh sekaligus menimbulkan pergaduhan dengan penyokong pasukan Perak.

Penyokong JDT yang dipercayai mabuk juga dilaporkan menyerang wakil media menyebabkan seorang jurugambar mengalami kecederaan manakala kameranya dicuri. –Kedahnews.com