Walaupun umurnya sudah hampir menjangkau seabad, Carmen Dell’Orefice, peragawati terkenal Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai model wanita tertua yang masih ligat di atas pentas peragaan setanding dengan pendatang baru.
Dell’Orefice yang berusia 85 tahun memulakan kerjaya sebagai model sejak berusia 13 tahun selepas Perang Dunia Kedua apabila ditawarkan oleh isteri jurugambar terkenal, Herman Landschoff.
“Saya mula menceburi industri ini apabila industri ini mula sahaja lahir selepas Perang Dunia Kedua,” katanya.
Menurut laman NewNowNext, kontrak pertama yang ditandatangani ikonik model berdarah campuran Itali dan Hungary ini hanya berjumlah AS$7.50 (RM30.27) sejam waktu itu.
Jelas Dell’Orefice, sewaktu perang, dia adalah pelopor kepada fesyen ‘Couture‘ kerana kebanyakan wanita pada zaman itu tidak dapat pergi ke benua Eropah dan memiliki pakaian ‘Couture’.
“Saya adalah sebahagian daripada era perkembangan fesyen ‘Couture’ di AS, yang mana para pereka hanya melakukan rekaan mereka sendiri tanpa hanya bergantung kepada bakat-bakat dari Eropah,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia berharap keberadaannya dalam industri berkenaan dapat membantu golongan wanita untuk keluar daripada kepompong penuaan atau bersaing sesama sendiri atau dengan model yang lebih muda.
“Saya berharap saya membantu wanita keluar daripada kepompong penuaan, menjalani kehidupan mereka dan tidak cuba untuk bersaing antara mereka sendiri yang usianya lebih muda atau mana-mana usia sekalipun.
“Saya akhirnya mencapai satu titik kehidupan saya di mana saya mempunyai keunikan tersendiri,” katanya. –Kedahnews.com