Olimpik Rio 2016: Perdana 2.0 Untuk Pemenang Pingat Emas


KUALA LUMPUR – DRB-HICOM Bhd dan Proton Holdings Bhd akan menganugerahkan atlet Malaysia yang memenangi pingat di Olimpik Rio dengan kereta Proton sebagai menghargai usaha, dedikasi dan komitmen mereka.

Sambil mengucapkan taniah kepada pemenang terbabit, syarikat itu berkata, pemenang pingat emas akan menerima sebuah Perdana 2.0L, pemenang pingat perak akan mendapat sebuah Suprima S 1.6L Turbo Premium manakala pemenang pingat gangsa pula sebuah Iriz 1.6L Premium.

“Oleh kerana DRB-HICOM dan Proton sentiasa membawa bendera Malaysia dalam semua perkara yang kami lakukan, sumbangan ini seiring dengan kebanggaan kita terhadap Jalur Gemilang.

“Kami berharap ini akan menggalakkan lagi atlet kita untuk berusaha lebih gigih bagi membuatkan rakyat Malaysia berbangga, terutama di peringkat tertinggi seperti Olimpik,” kata Pengarah Urusan DRB-HICOM dan Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar dalam satu kenyataan.

Setakat ini, Malaysia telah memenangi dua pingat perak dan satu pingat gangsa.

Penerjun Pandelela Rinong dan Chiong Jun Hoong memenangi pingat perak dalam acara terjun 10 meter platform seirama, pelumba basikal Azizulhasni Awang mendapat pingat gangsa dalam acara keirin, manakala bergu campuran badminton Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying memperoleh pingat perak.

Malaysia diwakili 32 atlet yang bersaing dalam 10 acara dalam temasya sukan terbesar dunia di mana lebih 200 negara mengambil bahagian. – BERNAMA