Padah Ceroboh Landasan Keretapi Berkembar Di Taman Cendana

Tairiyaveeran (dua, kiri) dibawa keluar kamar mahkamah selepas selesai prosiding pendakwaan
SUNGAI PETANI - Seorang pekerja kedai makanan dipenjarakan dua minggu dan didenda RM1,000 kerana menceroboh masuk ke landasan keretapi berkembar milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dekat Taman Cendana di sini, minggu lalu. 

Hukuman itu dijatuhkan terhadap C Tairiyaveeran oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam, sejurus menerima pengakuan bersalah tertuduh terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun dikenakan hukuman itu selepas mengambil kira rayuan tertuduh dan hujah pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Tairiyaveeran didakwa menceroboh masuk ke dalam kawasan berpagar landasan keretapi berkembar milik KTMB di Kilometer 29, Taman Cendana di sini, kira-kira jam 10 malam, 30 Julai lalu.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda sampai RM3,000 atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz.

Dalam rayuan, Tairiyaveeran diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon tertuduh hanya didenda kerana tertuduh berjanji tidak akan mengulangi kesalahan.

“Tertuduh juga mempunyai tanggungan isteri dan dua anak kecil berusia setahun dan lima tahun. Oleh itu, mohon hukuman yang minimum ke atas tertuduh,” katanya.

Sementara itu, Aqharie juga memohon hukuman bersifat pengajaran kepada tertuduh.

Terdahulu, sebelum keputusan dibuat oleh Mohd Hadi Hakimi, beliau turut mengambil maklum berdasarkan rekod percakapan tertuduh alasan berada di lokasi kejadian kerana bergaduh dengan isteri dan nekad membunuh diri.

Mohd Hadi Hakimi turut memerintahkan hukuman penjara sebulan sekiranya Tairiyaveeran gagal menjelaskan denda dan perintah hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 30 Julai lalu.

Untuk pertuduhan kedua, Tairiyaveeran turut didenda RM1,000 atau sebulan penjara atas tuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan ketika pemeriksaan polis.

Mohd Hadi Hakimi memutuskan hukuman denda, jika tertuduh gagal membayar denda, dia diperintah menjalani hukuman penjara bagi tempoh sebulan.

Sumber: Sinar Harian