PAFA Tetap Pertahan Pendirian Penyokong JDT Punca Kecoh


KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mempertahankan pendiriannya bahawa insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Ipoh di Perak malam kelmarin berpunca daripada sikap penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT).

Setiausaha Kehormatnya, Jamal Mohd. Aris menegaskan bahawa suasana tegang pada malam itu bermula apabila penyokong Pasukan JDT terus menyanyikan lagu berbentuk provokasi ke atas penyokong Perak walaupun perlawanan telah tamat.

Berikut kenyataan PAFA yang tersebar di media sosial berhubung insiden yang menyebabkan beberapa penyokong bola sepak dan seorang petugas media mengalami kecederaan tersebut: -Kedahnews.com
KENYATAAN AKHBAR INSIDEN KEKECOHAN SELEPAS PERLAWANAN LIGA SUPER MALAYSIA 2016 DI ANTARA PERAK MENENTANG JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) PADA 6 OGOS 2016 DI STADIUM PERAK

Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) memandang serius dan berasa kesal serta kecewa dengan kejadian insiden kekecohan yang dilakukan oleh sekumpulan penyokong selepas perlawanan Liga Super Malaysia 2016 antara Pasukan Perak menentang Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 6hb. Ogos 2016 di Stadium Perak tempoh hari.

PAFA selaku tuan rumah dan dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) telah mengambil semua tindakan yang perlu bagi memastikan perlawanan tersebut dapat dilaksanakan dengan harmoni dan semangat kesukanan tanpa menjejaskan keselamatan penonton.

Sehubungan dengan itu, PAFA dengan kerjasama agensi keselamatan dan pelbagai agensi lain telah menyediakan lebih 1,200 orang anggota keselamatan dan petugas yang melibatkan PDRM, FRU, Petugas Keselamatan Stadium, RELA, MBI, BOMBA, JPAM dan JBS bagi tujuan memastikan perlawanan tersebut berjalan dengan lancar dan keselamatan penonton terjamin.

PAFA juga mengambil tindakan untuk menjual tiket perlawanan sebanyak 26,000 keping tiket daripada jumlah sebenar kapasiti stadium yang boleh memuatkan seramai 32,000 orang penonton bagi memastikan keselesaan penonton serta tahap keselamatan yang terbaik.

Sebagaimana yang diminta PAFA juga menyediakan lebih 1,000 keping tiket kepada penyokong Pasukan JDT seperti yang diminta.Sebagaimana syarat yang ditetapkan oleh FAM dan FMLLP, penyokong kedua-dua pihak telah ditempatkan dan dipisahkan di dalam stadium bagi tujuan keselamatan. Anggota PDRM, Petugas Keselamatan Stadium dan RELA telah ditempatkan di antara tempat duduk penyokong kedua-dua pasukan.

Perlawanan tersebut yang disiarkan secara langsung di TV3 telah bermula dengan baik tanpa sebarang gangguan. Para penonton telah berdiri bagi menunjukkan tanda hormat semasa lagu Negeri Perak dan Negaraku dimainkan. Ketika lagu Negeri Johor dinyanyikan oleh penyokong Pasukan JDT, para penonton masih berdiri tanpa melakukan sebarang provokasi bagi menunjukkan rasa hormat kepada pasukan lawan.

Tiada sebarang insiden pergaduhan atau kekecohan berlaku sepanjang perlawanan berlangsung kecuali kecaman penonton terhadap pengadil perlawanan.

Suasana tegang bermula selepas perlawanan tersebut ditamatkan apabila penyokong Pasukan JDT terus menyanyikan lagu berbentuk provokasi ke atas penyokong Perak termasuk terus memainkan gendang walaupun telah diarahkan berhenti oleh PDRM dan Petugas Keselamatan Stadium.

Sekumpulan penyokong Pasukan JDT juga telah menaikkan ‘Banner’ yang mempamerkan tulisan berbentuk provokasi selepas perlawanan tamat. Tindakan tersebut adalah bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan oleh FAM dan FMLLP.

Sekumpulan penyokong Pasukan JDT telah merempuh hadangan PDRM, Petugas Keselamatan Stadium dan RELA untuk masuk ke dalam kawasan penyokong Pasukan Perak. Tindakan tersebut telah memulakan kekecohan dan pergaduhan tetapi masih dapat dikawal oleh anggota keselamatan.

Selepas itu, penyokong Pasukan JDT cuba merempuh pintu pagar keselamatan stadium untuk masuk ke dalam padang. Atas pertimbangan keselamatan, PDRM mengarahkan agar yang pintu pagar keselamatan stadium tersebut dibuka bagi mengelakkan rusuhan dan pergaduhan di antara penyokong kedua-dua pasukan.

Walaubagaimanapun perkara sebaliknya berlaku apabila penyokong-penyokong yang berada dalam padang telah secara berterusan mencabar dan melakukan provokasi terhadap penyokong-penyokong yang berada di tempat duduk stadium untuk bergaduh.

Peralatan pertandingan dalam padang stadium seperti jaring gol telah dibakar, bendera telah dicuri, padang telah dirosakkan dan papan pengiklanan telah dirosakkan.

Lebih mengecewakan apabila seorang Jurugambar NSTP yang bertugas telah diugut, dikasari dan dicederakan termasuk kamera beliau telah dirampas yang hanya dijumpai semula di tengah padang stadium.

Presiden PAFA telah mengambil inisiatif untuk mententeramkan keadaan dengan memberikan arahan kepada penyokong Pasukan Perak untuk meninggalkan stadium secara aman menggunakan pembesar suara walaupun tindakan tersebut mendapat reaksi negatif daripada penyokong Pasukan JDT.

Setelah penyokong Pasukan Perak secara beransur-ansur beredar, PDRM dan FRU juga turut memastikan keadaan keselamatan di luar stadium turut terkawal. Para pegawai dan pemain bagi kedua-dua pasukan serta pegawai pertandingan telah tidak diganggu dan telah keluar dari stadium pada jam 12.30am tanpa sebarang masalah.

Selepas itu, penyokong Pasukan JDT telah dibenarkan keluar stadium untuk menaiki bas. Semua bas penyokong Pasukan JDT berjumlah 21 buah telah diiringi oleh PDRM sehingga sempadan negeri bagi memastikan tiada insiden tidak dingini berlaku.

Secara keseluruhannya, PAFA dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan telah berusaha untuk menyediakan kawalan keselamatan terbaik dan PAFA percaya insiden kekecohan ini tidak mungkin akan berlaku sekiranya penyokong Pasukan JDT mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh PDRM dan petugas keselamatan stadium.

PAFA telah mengumpulkan semua bukti bergambar dan video termasuk kenyataan saksi-saksi yang berkaitan dengan insiden tersebut dan akan digunakan untuk membantu siasatan oleh Pihak Berkuasa dan FAM. PAFA berharap penyokong-penyokong yang sengaja mencetuskan kekecohan pada perlawanan tersebut dapat dikenal pasti dan tindakan dapat diambil terhadap mereka. PAFA mendapati terdapat tuduhan tidak berasas dan kata-kata provokasi, kecaman dan penghinaan terhadap PAFA, anggota keselamatan yang bertugas dan penyokong di dalam media sosial:

(a) Dakwaan PAFA gagal mengawal keselamatan penyokong Pasukan JDT

(b) Dakwaan penyokong Pasukan JDT telah diancam dan dibaling dengan objek keras

(c) Dakwaan insiden kecederaan dan rampasan kamera Jurukamera NSTP tidak berlaku dan adalah satu fitnah

(d) Dakwaan lagu Negeri Johor telah diperlekehkan oleh penyokong Pasukan Perak

(e) Dakwaan penyokong Pasukan Perak membuat provokasi dan melaungkan sorakan penghinaan terhadap pasukan JDT

(f) Dakwaan jumlah anggota PDRM yang bertugas hanya seramai 100 orang, anggota untuk menjaga keselamatan penonton seramai 35,000 orang

(g) Komen-komen menghina penyokong Pasukan Perak

(h) Komen-komen yang menghina rakyat Negeri Perak

(i) Dakwaan Ahli Jawatankuasa PAFA memijak penyokong Pasukan JDT.

PAFA dengan tegas menyatakan bahawa dakwaan-dakwaan dan komen-komen tersebut yang dibuat oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab adalah tidak berasas dan adalah suatu fitnah provokasi yang boleh menyebabkan rasa tidak puas hati dan dendam berpanjangan terhadap penyokong kedua-dua pasukan termasuk boleh menjejaskan hubungan baik dan semangat setiakawan antara PAFA dan PBNJ.

PAFA telah mempertimbangkan untuk membuat Laporan Polis terhadap mana-mana pihak yang membuat dakwaan-dakwaan palsu dan membuat kata-kata kecaman termasuk provokasi yang boleh mencetuskan ketidak harmonian di antara penyokong-penyokong kedua-dua pasukan khususnya rakyat kedua-dua negeri supaya tindakan undang-undang dapat diambil.

Berkaitan kecaman terhadap pengadil perlawanan, PAFA menyerahkan kepada kebijaksanaan FAM dan FMLLP untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. PAFA menegaskan tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang perbuatan yang mencemarkan semangat kesukanan yang sepatutnya wujud melalui sukan bolasepak.

Pada 8 Ogos 2016.

JAMAL MOHD ARIS
Setiausaha Kehormat
Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan