Pak Nasir Mulakan Larian Dari Alor Setar Ke Dataran Merdeka

MUTALIB (belakang, baju hitam) menyaksikan Nasir melakukan larian solo sejauh 500km bermula dari Dataran Masjid Zahir, Alor Setar ke Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-59. - Foto: Muhd Adib
ALOR SETAR - Seorang bekas tentera, Nasir Abas, 61, membuktikan semangat patriotik apabila melakukan larian solo sejauh 500 kilometer (km) dari Kedah ke Dataran Merdeka di ibu negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 tahun ini.

Nasir atau lebih dikenali Pak Nasir yang juga Imam Surau Al Hijrah di Kuala Kedah, memulakan misi larian beliau di Masjid Zahir, di sini, jam 7 pagi semalam, dengan pelepasan disempurnakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Mutalib Harun.

Pak Nasir yang akan diiringi anak bongsunya, Mohd Ridzuan Nasir, 28, dan isteri, Faridah Lowamiah, 59, serta sahabat handai bersama dua kenderaan dijangka mengambil masa 10 hari untuk menamatkan larian itu.

Ketika ditemui, Pak Nasir berkata, sebagai permulaan, beliau akan mengharungi larian sejauh kira-kira 60 km dari Masjid Zahir ke Sungai Petani dan dijangka tiba petang semalam.

Katanya, beliau memulakan sesi latihan selepas Aidilfitri lalu dengan melakukan larian sejauh 15km sehari di sekitar Kuala Kedah.

"Ini larian solo kesembilan yang saya lakukan dan Insya-Allah akan mengharungi cabaran sepanjang laluan di empat negeri melalui jalan lama untuk sampai ke Kuala Lumpur.

"Tujuan saya hanya untuk menunjukkan semangat patriotik di semua peringkat golongan tak kira tua atau muda, selain kecerdasan dan kesihatan," katanya.

Pak Nasir bukan nama asing dalam sukan larian solo dan sebelum ini, beliau turut menyempurnakan misi larian 500km dari Stadium Shah Alam ke Stadium Darul Aman sehari selepas perlawanan akhir Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah yang berlangsung pada 12 Disember lalu.

Selain itu, beliau pernah mencatat rekod larian 1,754 km selama 30 hari dari Rantau Panjang, Kelantan, pada 1 Ogos 2002 dan melakukan larian dari Tawau, Sabah, pada 25 Julai 2003 dan tiba di Kuching, Sarawak sempena Tahun Melawat Sarawak 2003.

Sumber: Berita Harian