PAN Minta PAS Mula Langkah Awal Jika Mahu Bincang

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) meminta PAS memulakan langkah awal jika kedua-dua parti mahu berunding mengenai pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke–14 (PRU14).

Setiausaha Pemuda PAN Perak, Safarizal Saleh berkata, perbincangan itu bagi mencari formula ‘satu lawan satu’ parti pembangkang untuk menentang Barisan Nasional (BN).

“Pemuda PAN Perak mempelawa Dewan Pemuda PAS Perak memulakan langkah awal untuk duduk semeja dan berbincang bagi menghadapi PRU14 agar fomula ‘satu lawan satu’ dapat dinatijahkan.

“Tujuan agar duduk semeja tersebut sebagai ‘jiwa besar’ daripada sayap Pemuda agar kepimpinan tertinggi semua parti pembangkang mengambil pendekatan berbincang segera untuk menentukan kerusi,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Safarizal dalam pada itu mengingatkan parti pembangkang lain bahawa PAN dan Parti Pribumi Bersatu (Pribumi) telah sepakat untuk bersama di meja rundingan bagi membincangkan tentang pembahagian kerusi PRU14.

“Parti baharu seperti kami dan yang terbaru iaitu Pribumi yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed dan Presidennya, Tan Muhyiddin Yassin sudah sepakat untuk bersama di meja rundingan.

“Parti lain seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) perlu mengenepikan kepentingan diri,” katanya.

Katanya, parti pembangkang perlu menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini sebagai teladan untuk mempunyai satu matlamat dan wawasan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kelmarin bagaimanapun menegaskan, pendirian PAS adalah jelas iaitu sama sekali tidak akan bekerjasama dengan PAN yang mengkhianti perjuangan parti itu dan DAP yang menentang Islam.

PAS disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang oleh DAP dan PKR pada tahun lalu kerana enggan tunduk kepada desakan pakatan berhubung isu akidah Islam yang dikhuatiri boleh menjejaskan sokongan bukan Islam ke atas pembangkang.

Bekas pemimpin PAS tetapi pro PKR dan DAP kemudian bertindak menubuhkan PAN kononnya bagi menggantikan PAS sebagai parti Islam dalam gabungan baharu parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan. –Kedahnews.com