Parapugas: Kembar Siam Dua Kepala, Satu Badan Di Indonesia


JAKARTA – Bayi kembar siam perempuan yang dilahirkan dengan dua kepala namun mempunyai hanya satu badan, sepasang tangan dan kaki menarik simpati ramai di kalangan masyarakat Indonesia.

Bayi unik itu dilahirkan pada 9 Ogos lalu di sebuah hospital tempatan di Gresik dekat Surabaya yang terletak dalam wilayah Jawa Timur, kira-kira 758 kilometer dari ibu kota Jakarta, menurut laporan laman berita terkenal Liputan 6.

Susulan kelahiran bayi kembar pelik tersebut yang seberat 4.2 kilogram, dia kini terpaksa diletakkan di dalam sebuah inkubator di bawah penjagaan khas oleh sepasukan jururawat di Hospital Besar Ibnu Sina.

Bayi berkenaan bagaimanapun disahkan mengalami Parapagus, iaitu jenis kembar siam di mana terdapat dua kepala, dua leher yang bersebelahan antara satu sama lain namun hanya memiliki satu badan sahaja.

Sri Wahyuni, ibu bayi tersebut, masih belum boleh lagi mengulas kepada pihak media kerana masih terkejut setelah mendapat tahu bayinya dilahirkan dengan mempunyai dua kepala.

“Saya sendiri gembira bercampur terkejut, apabila diberitahu oleh doktor bahawa bayi yang dilahirkan isteri adalah bayi perempuan, tapi dengan dua kepala,” kata Dianto, si bapa kepada bayi itu.

“Semoga saja bayi perempuan kami akan baik-baik saja dan dapat membesar seperti bayi-bayi yang lain. Sehingga kini, kami masih menunggu arahan lebih lanjut daripada pasukan doktor yang ada di hospital ini,” tambah beliau dipetik akhbar Kompas.


Bayi berkenaan juga pada mulanya disahkan mengalami kegagalan pernafasan sebaik sahaja dilahirkan serta menggunakan mesin sokongan jantung dan pernafasan ketika doktor dan jururawat memantau keadaannya.

Keadaan bayi tersebut adalah jauh berbeza berbanding dengan banyak kes bayi kembar siam lain yang dilahirkan bercantum memandangkan dia hanya mempunyai satu set organ dalam tubuhnya.

Disebabkan terdapat hanya satu jantung, maka adalah cukup mustahil untuk memisahkan dan menyelamatkan kedua-duanya sekali gus, menurut laman akhbar antarabangsa Daily Mail.

Kes seperti ini jarang berlaku dan dipercayai disebabkan oleh mutasi genetik pada awal kehamilan. – Agensi