Parti Baru Mahathir: PAS Takkan Ulang Kesilapan Lalu - Nasrudin Hassan


SHAH ALAM – Pas akan mengkaji dasar dan prinsip parti sebelum memutuskan menyertai atau sebaliknya parti baharu yang diperjuangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Pas sudah belajar daripada kesilapannya yang lalu dan tidak lagi mahu mengulangi perkara sama.

“Pas bekerjasama atau tidak, bergantung kepada dasar parti atau prinsip perjuangan parti tersebut dan agenda perjuangan mereka. Kita perlu hati-hati dan teliti lebih lanjut, tidak semestinya mereka di blok pembangkang (yang menentang kerajaan), Pas akan terus hulur kerjasama.

“Sebagai sebuah parti dewasa dan berpengalaman, sebahagian ilmu dan pelajaran adalah pengajaran yang Pas lalui, Pas tidak akan ulang kesilapan lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ‘kesilapan’ Pas bekerjasama dengan DAP menerusi ikatan Pakatan Rakyat terdahulu.

Katanya lagi, Pas tidak menentang penubuhan parti baharu di negara ini selagi ia ditubuhkan mengikut proses undang-undang sedia ada.

“Kita perlu nilai dan kaji untung rugi (sekiranya mahu bekerjasama dengan parti baharu) terhadap perjuangan yang didukung Pas.

“Kita tidak hanya berjuang sekadar menjadi pembangkang dan menentang kerajaan semata-mata, kita berjuang secara berprinsip dengan matlamat membina negara sejahtera dan membina kebaikan untuk rakyat,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian