PAS Sedang Dalam Proses Saman Sarawak Report - Abdul Hadi


KOTA BHARU – PAS kini dalam proses untuk menyaman Sarawak Report berhubung dakwaan yang dibuat portal berita itu terhadap parti berkenaan, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata proses tersebut diserahkan kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Lujnah Guaman parti.

“Proses untuk menyaman Sarawak Report sedang berjalan sekarang termasuk untuk melantik peguam (di London),” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Persidangan Muslimah Antarabangsa Kelantan di sini, semalam.

Baru-baru ini, portal berita yang berpangkalan di London itu mendakwa PAS menerima dana sebanyak RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO, sekaligus mengundang kemarahan anggota PAS yang turut membuat beberapa laporan polis bagi menyiasat dakwaan tersebut. – BERNAMA