PAS Selangor Isytihar Sokong Gagasan Sejahtera


KUALA LUMPUR – Selepas dua hari berlalu, PAS Selangor akhirnya mengambil pendirian menyokong penuh pembentukan rasmi blok ketiga parti politik Gagasan Sejahtera (Gagasan) seperti yang diumumkan oleh PAS Pusat pada 13 Ogos lalu.

Pengumuman itu secara tidak langsung menjadikan Selangor kini ditadbir sepenuhnya oleh sebuah gabungan parti politik `caca marba’ yang terdiri daripada dua blok parti politik saling bertelagah iaitu Pakatan Harapan dan Gagasan.

Pakatan Harapan dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) manakala Gagasan dianggotai PAS dan Parti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan),

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, PAS Slangor mengalu-alukan penubuhan Gagasan yang dipimpin oleh PAS.

“PAS Selangor yakin aspirasi Gagasan yang dianggotai PAS dan Ikatan itu dapat dikongsi oleh rakyat Malaysia.

“Penubuhan Gagasan yang merupakan blok ketiga memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media semalam, tanpa menyatakan sama ada masih kekal bersama kerajaan DAP dan PKR di Selangor atau sebaliknya.

Pendirian PAS Selangor itu juga satu tamparan kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa kononya PAS masih bersama PKR di Selangor.

Beliau membuat dakwaan itu bagi mempertahankan kedudukannya sbebagai Menteri Besar Selangor daripada tergugat disebabkan perpecahan Pakatan Rakyat pada tahun lalu.

“Ia akan menyuburkan dan mematangkan lagi amalan demokrasi di Malaysia,” dakwa Iskandar. –Kedahnews.com