Pasangan Muslim Diarah Keluar Pesawat Kerana Sebut Nama Allah


WASHINGTON DC – Sepasang suami isteri beragama Islam diarahkan untuk segera keluar daripada pesawat kerana menyebut perkataan ‘Allah’ semasa menggunakan telefon bimbit.

Menurut laporan akhbar The Washington Post, pasangan, Nazia Ali dan suaminya Faisal sedang dalam perjalanan pulang ke Ohio setelah berbulan madu di London dan Paris sempena meraikan ulang tahun ke-10 perkahwinan mereka.

Tanpa mereka sedari, salah seorang anak kapal pesawat Delta memaklumkan kepada juruterbang bahawa dia kurang senang dengan gelagat pasangan Muslim tersebut, menurut laporan akhbar tempatan Cincinnati Enquirer.

Antara sebab yang diberikan oleh anak kapal berkenaan adalah, Nazia dilihat menggunakan telefon selular dan memakai tudung manakala suaminya pula kelihatan sedang berpeluh-peluh, lapor akhbar tersebut lagi.

Anak kapal itu juga mendakwa pasangan tersebut menyebut perkataan ‘Allah’. Justeru, juruterbang memutuskan untuk tidak berlepas sehingga pasangan tersebut berjaya dikeluarkan daripada pesawat berkenaan.

“Kami sudahpun duduk di dalam pesawat selama 45 minit. Anak kapal kemudian bertanya ‘Bolehkah anda keluar bersama saya? Kami mahu bertanya beberapa soalan’,” Nazia memberitahu Cincinnati Enquirer.

“Maka saya bertanya kepada beliau sama ada kami perlu membawa barangan kami dan beliau menjawab, ‘Ya, sila bawa semua barangan anda. Anda tidak akan menaiki pesawat ini’.” terang wanita berkenaan lagi.


Susulan insiden tersebut, kumpulan-kumpulan hak asasi awam yang berjuang untuk kepentingan masyarakat Muslim Amerika Syarikat (AS) menyifatkan perbuatan sedemikian sebagai kaedah “religious profiling”.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbuhungan Amerika-Islam Cincinnati (CAIR), peguam Sana Hassan menggesa pemerintah AS supaya mengambil tindakan terhadap masalah salah faham keterlaluan tersebut.

Pihak CAIR juga mengumumkan rancangan untuk membuat aduan secara rasmi terhadap syarikat penerbangan Delta Air Lines kepada Jabatan Pengangkutan AS atas sikap diskriminasi paling biadap berkenaan.


Insiden itu berlaku selang beberapa hari selepas seorang wanita Muslim yang juga dalam perjalanan pulang setelah berbulan madu di Turki, diarah keluar daripada laluan pengecapan pasport di Lapangan Terbang Doncaster Sheffield di South Yorkshire.

Kesalahan penumpang Muslimah itu hanyalah kerana dia secara kebetulan sedang leka membaca buku tentang Syria ketika beratur untuk pemeriksaan pasport, menurut laporan akhbar The Washington Post. – Agensi