Pasukan SWAT SFC Tumpaskan Buaya 14 Kaki Di Taman Negara Bako


KUCHING – Seekor buaya dewasa berukuran 14 kaki panjang ditumpaskan di perairan Teluk Paku di Taman Negara Bako, kira-kira 40 km dari sini awal pagi kelmarin.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam satu kenyataan berkata, buaya itu dibunuh dalam operasi yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC selepas buaya itu dilihat berada di perairan di Teluk Paku oleh Renjer Taman baru-baru ini.

“Pasukan SWAT di Taman Negara Bako telah dimaklumkan untuk memburu buaya jantan itu. Ia akhirnya tejerat pagi tadi dan dengan segera dibunuh,” kata kenyataan tersebut.

19 lokasi termasuk perairan di Taman Negara Bako telah diisytiharkan sebagai Zon Bunuh Buaya (CRZ) kerana kehadiran buaya di kawasan-kawasan ini akan menimbulkan konflik serius antara manusia dan buaya.

CRZ kebanyakannya ialah kawasan yang padat penduduk, kawasan riadah seperti resort, tebing sungai, tepian sungai, sekolah, klinik dan oleh itu, kehadiran buaya di kawasan-kawasan ini tidak akan dibiarkan.

“Untuk keselamatan orang ramai, buaya yang ditemui di Zon Bunuh Buaya akan dibunuh,” kata kenyataan itu. – BERNAMA