"Patriotic Wall" Jadi Tumpuan Rakyat Kedah Berjiwa Patriotik


ALOR SETAR - "Dinding Patriotik" atau "Patriotic Wall" yang terbina di kompleks membeli belah ikonik Aman Central berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat dan kaum sama ada Melayu, Cina, India, Siam mahupun lain-lain bangsa.

Dibina seawal jam 9 pagi tadi bagi sambutan Majlis Pelancaran Jalur Gemilang bersempena Hari Kebangsaan ke-59 peringkat negeri Kedah hari ini, pengunjung di kompleks membeli belah itu tidak putus-putus menzahirkan rasa patriotik masing-masing dengan mengambil bahagian menempelkan 'tapak tangan' mereka di dinding berkenaan.

Menurut individu yang mencetus idea '"Patriotic Wall" tersebut, Nisah Abdul Karim, dia menjangkakan dinding berkenaan akan sempurna kira-kira jam enam petang ekoran sambutan hangat yang diterima, sekaligus menandakan sifat patriotisma yang tinggi di kalangan rakyat Kedah.


"Saya jangkakan petang ni akan siap sebab sambutannya hebat.

"Daripada pukul 9 tadi elok-elok naik saja wall ni saya tengok ramai yang datang ambil bahagian, jadi saya ingat dalam pukul 6 ni dah siap sepenuhnya," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com di sini, petang tadi.


Selain itu, pengasas kepada syarikat jururunding Infografik Designs Consultants itu turut menjangkakan dinding patriotik itu akan menarik minat anak-anak muda di Kedah untuk menjiwai semangat kemerdekaan yang pernah dirasai nenek moyang pada 1957 dulu.

Justeru mereka yang mengambil bahagian menempelkan "tapak tangan" di dinding patriotik melengkapkan sebidang Jalur Gemilang gergasi merupakan simbolik kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang bernama Malaysia.

Nisah juga turut mengimbas kembali nostalgia zaman kemerdekaan menerusi "photo booth" berkonsepkan era 1950'an melalui intepretasi kartunis lagenda negara, Lat, yang terkenal dengan karya-karya bertemakan kepelbagaian masyarakat, kaum, budaya dan kepercayaan.


"Kita bawa idea 1950'an, bertemakan konsep sehati sejiwa itu. Sejak 1950'an lagi kita sudah praktikkan benda tu.. Malay, Chinese, Indian, Punjab dan semua kaum telah bersama-sama membawa semangat kemerdekaan.

"Itulah yang kita bawakan sempena bulan merdeka kali ni..semangat orang dulu-dulu tu yang kita bawa dan selami hari ini.

Sebab tu kita pilih kartun Datuk Lat, sebab simbolik karyanya itu tema berbilang kaum, dan kita bawa dalam senario stesen keretapi kerana ini fenomena pada 1950'an. Orang berkumpul kat situ, orang berjumpa kat situ, orang berjual beli kat situ," jelasnya lagi.

Nisah Abdul Karim
Infografik Designs Consultant merupakan sebuah syarikat yang berpengalaman selama 26 tahun dalam bidang perunding rekabentuk dan pernah terlibat menjayakan banyak program, majlis dan keraian, khususnya di negeri Kedah. -Kedahnews.com