Patuh Konsep Pemerintahan Islam, Baru Boleh Kerjasama - PAS


KUALA LUMPUR – PAS boleh bersama dan bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk bukan Islam tetapi dengan syarat menerima konsep Islam memimpin dan memerintah negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS juga boleh berpisah dengan mana-mana pihak yang tidak menghormati ‘sempadan itu’ walaupun betapa hebat cabarannya.

“Adapun bertahaluf dengan pihak lain dengan berjanji seperti kenyataan seorang bukan Islam kepada Rasulullah S.A.W (Aku tidak mahu menganut Islam), tetapi aku berjanji tidak menentang mu dan tidak bersama dengan kaum yang menentang mu),” katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Abdul Hadi berkata, PAS menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh apabila mencapai kemenangan yang sangat berbeza dengan pihak yang menjadikan kemenangannya untuk melepaskan geram dan membalas dendam.

Justeru, katanya, ahli PAS yang tidak bertahan dalam menghadapi gelombang politik beristiqamah bersama konsep Islam pasti akan keluar atau dikeluarkan daripada parti itu.

“Sebabnya kerana ahli PAS yang setia mahukan kemenangan janji Allah. Kemenangan yang dijanjikan ini hanya kepada sesiapa yang beristiqamah mengatasi segala yang lain. Dinyatakan dalam bai’ah dan perjuangan secara amali oleh ahli jemaah Islam,” katanya.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini membayangkan kononnya PAS akan kembali bekerjasama dengan pakatan pembangkang yang didominasi oleh DAP.

PAS disingkirkan daripada pakatan pembangkang oleh DAP dan PKR pada tahun lalu kerana enggan tunduk dalam beberapa isu membabitkan akidah Islam yang dikhuatiri boleh menjejaskan sokongan bukan Islam.

DAP dan PKR kemudian menubuhkan Pakatan Harapan yang turut dianggotai Parti Amanah Negara (PAN).

PAN diwujudkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS yang bertindak keluar parti kerana terlalu taksub kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah kerana didapati salah meliwat seorang pemuda iaitu pembantu peribadinya. – Kedahnews.com