Pelajar Maut Terjatuh Dari Tingkat 3 Bangunan Sekolah


PUTRAJAYA -  Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 9 di sini, dilaporkan maut selepas mangsa terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.

Difahamkan mangsa yang dikenal pasti sebagai Azim Hakimi Abu Shuja terjatuh dalam kejadian pada pukul 9.40 pagi tadi ketika mahu menolong mengambil beg rakannya yang dibuang pelajar lain di tepian bangunan berdekatan kelasnya.

Menurut sumber sekolah, mangsa dikatakan tidak dapat mengimbangi badan ketika cuba mengambil beg yang dikatakan tersangkut di belebas bangunan tersebut.

Mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala mayatnya dilaporkan telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk tujuan bedah siasat.

Ketika dihubungi media, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Superitenden Rosly Hassan mengesahkan insiden itu.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa berhubung kejadian itu melalui laman Facebook beliau.

Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan dan polis, katanya.

"Al-Fatihah dan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Azim Hakimi bin Abu Shuja dari SMK Presint 9 (2) yang telah meninggal dunia kerana terjatuh dari bangunan sekolah pagi tadi. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak JPN dan polis," tulis Mahdzir, prihatin atas insiden berkenaan. -Kedahnews.com