Pemandu Maut Lepas Terjun Dari Treler Di Sg Petani

Treler yang terbabas di tempat kejadian.
SUNGAI PETANI - Nekad seorang pemandu terjun keluar daripada treler yang dipandunya untuk menyelamatkan diri gagal apabila dia dipercayai maut terkena pengadang besi sebelum masuk dalam longkang.

Dalam kemalangan yang berlaku di susur keluar Plaza Tol Sungai Petani Selatan, dekat Taman Sejati, kira-kira jam 2.45 petang itu, pemandu treler, Mohd Zaki Talib, 51, dari Kampung Baru, Penaga, Pulau Pinang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari arah Butterworth menuju ke Sungai Petani.

“Apabila sampai di susur keluar plaza tol Sungai Petani Selatan, didapati treler yang dipandunya terbabas selepas hilang kawalan lalu melanggar pengadang besi sebelah kanan susur keluar tol berkenaan.

“Hasil siasatan awal, pihak kami juga mendapati mangsa didapati terjun keluar dari lori dan terkena pengadang besi lalu masuk ke dalam  longkang,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Md Zukir berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala .

“Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber: Sinar Harian