Penduduk Bandar Utama Sg Petani Bimbang Tong Gas Meletup

Treler yang didakwa sering kelihatan di kawasan perumahan mereka. Gambar kecil: Jalan raya yang mendap, berlubang dan rosak kesan kenderaan berat melalui kawasan perumahan.
SUNGAI PETANI – Bimbang keselamatan diri dan nyawa, penduduk Bandar Utama dan sekitarnya menggesa pihak berwajib memantau tindakan sebuah lori treler muatan tong gas yang di parkir di kawasan perumahan mereka.

Pengadu yang enggan dikenali berkata, kehadiran lori treler itu  mengundang bahaya dan mengancam keselamatan penduduk terutama kanak-kanak yang bermain di sekitar kawasan tersebut.

“Setiap malam kami tidak boleh lelapkan mata, kerana bimbang ia meletup. Kami takut sekiranya berlaku kebakaran di kawasan perumahan, seluruh kawasan taman  perumahan ini boleh musnah akibat letupan besar ," katanya.

Seorang lagi pengadu mendakwa, penduduk juga bimbang ketika umat Islam menyambut Aidilfitri yang lalu kerana ada anak-anak jiran bermain mercun.

“Setiap malam bunyi mercun, kami yang dah berusia ni kecut perut, budak-budak muda buat tak tahu saja, depa seronok boleh main mercun sana sini,” katanya.

Seorang lagi pengadu berkata,  lori tersebut mula di parkir bermula jam empat petang dan akan mula menghidupkan enjin seawal Subuh sebelum bergerak keluar.

“Lori akan diletakkan semula pada waktu petang dan akan keluar keesokan hari kecuali hari Jumaat dan akan diletakkan sepanjang masa,” katanya.

Katanya, tindakan kenderaan berat yang sering berulang-alik di kawasan perumahan menyebabkan jalan jadi mendap dan rosak selain membahayakan orang ramai.

Difahamkan, laporan berkenaan telah dikemukakan penduduk kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) , Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan laporan polis.

Ketua Jabatan Penguatkuasaan  MPSPK, Anil Aris berkata, tindakan susulan akan diambil selepas siasatan mengenainya dijalankan.

SPAD juga difahamkan turut melakukan pemantauan.

Sumber: Sinar Harian