Pengurus Restoran Berdepan Hukuman Denda RM100,000

Meng Jiun (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Alor Setar
ALOR SETAR – Seorang pengurus restoran berdepan hukuman denda sehingga RM100,000 selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, di sini, atas kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan.

Chern Meng Jiun, 46, didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Mei 2015, kira-kira jam 12.30 tengah hari di restoran miliknya yang terletak di Kompleks Perniagaan Utama Pintu 10, di sini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa gagal untuk mematuhi ungkapan penandaan caj perkhidmatan dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa kebangsaan diikuti dengan terjemahan ungkapan itu dalam mana-mana bahasa lain.

Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 3(4)(a) Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan (Penandaan Caj Perkhidmatan Bagi Hotel dan Restoran) 2015 dalam bahasa kebangsaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(5) akta yang sama.

Untuk kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000.

Meng Jiun yang hadir ke mahkamah kelmarin dengan memakai baju-T berwarna hijau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Hakim, Zanol Rashid Hussain menetapkan 4 September untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Afiq Anwar Mohamed Sapian.

Sumber: Sinar Harian