Perangai Pelakon Baru Punca Mak Nani Bersara


PENGARAH dan penerbit veteran, Datuk Rosnani Jamil, 80, atau lebih dikenali sebagai Mak Nani mengakui salah satu punca pengunduran dirinya daripada bidang seni adalah kerana dia sudah tidak mahu melayan kerenah artis baharu.

Mak Nani berkata, dia tidak mahu berurusan dan berdepan dengan segelintir artis baharu yang tidak memberikan komitmen kepada produksi dan juga mempunyai masalah disiplin.

“Mawar Putih merupakan karya terakhir saya. Banyak perkara yang saya sedar dan banyak juga perkara yang sudah berubah, bukan macam dulu lagi.

“Selain teknik penggambaran yang makin canggih, saya juga tak mahu melayan perangai artis yang terlalu banyak hal. Cukuplah dalam filem akhir ini,” katanya, memetik mStar.

Tambah Mak Nani, walaupun akan berhenti dari industri seni, dia akan sentiasa mengikuti perkembangan industri dan memberikan sokongannya dari jauh. – Kedahnews.com