Perenang Olimpik Britain Bangga Dibesarkan Di Malaysia

Ben Proud
RIO DE JANEIRO - Dilahirkan di London dan dibesarkan di Malaysia, Ben Proud mungkin boleh membuat pilihan mahu berenang untuk negara mana dan beliau kini akan berenang di sukan Olimpik mewakili Great Britain.

Berusia 21 tahun, juara bagi acara 50 meter kuak kupu-kupu dan gaya bebas Sukan Komanwel ke-50 ini akan menjadi pencabar pingat dalam acara 50 meter gaya bebas dan tiba di Brazil dengan catatan masa keenam terpantas tahun ini.

Sekiranya bintang ini menyerlah, Proud akan menjadi tajuk utama berita, tetapi Malaysia, sebuah negara yang sehingga kini hanya pernah menang pingat dalam sukan badminton dan terjun boleh turut sama tumpang bangga dengan kejayaan-kejayaannya sebelum ini.

Pada tahun 2011, ketika berusia 16 tahun dan berenang dalam Terbuka Malaysia, Proud mencatatkan rekod kebangsaan dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu dan telah ditawarkan dengan satu pilihan kerjaya.

"Selepas mengambil pingat di podium saya telah didatangi oleh seseorang yang berkata 'jika anda mahu, kami boleh beri dua kerakyatan bagi membolehkan kamu berenang untuk Malaysia'.

"Sebagai seorang yang agak patriotik untuk Malaysia dan England, ia adalah satu tawaran menarik.

"Tetapi saya tidak dapat bayangkan berenang untuk Great Britain pada usia yang muda. Saya benar-benar gembira saya tidak membuat keputusan itu terlalu awal kerana sokongan yang saya telah berikan sejak lama itu... telah membawa kepada satu perubahan besar.

Walaupun abangnya, Oliver telah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dalam sukan air wakeboard, menjadi anak angkat kepada Ketua Eksekutif Persatuan Olimpik British (BOA) Bill Sweeney mungkin telah membantu mempengaruhi keputusan adiknya itu.

Pada Kejohanan Eropah di London pada Mei, Proud memenangi pingat gangsa bagi acara 50 meter gaya bebas di belakang juara Olimpik, Florent Manaudou dari Perancis, dan menjadi pesaing terbesarnya di Rio adalah perenang Australia Cameron McEvoy dan Nathan Adrian dari Amerika.

Proud pernah menewaskan McEvoy pada Sukan Komanwel bagi meraih emas pada tahun 2014.

"Manaudou telah mendominasi acara 50 meter gaya bebas dalam setiap pertandingan, jadi dia pasti akan menetapkan sasaran untuk acara kegemarannya," kata Proud.

Keluarga Proud telah berpindah ke Malaysia ketika berusia lima bulan dan bersekolah di sana sebelum kembali ke Britain pada tahun 2011.

"Agak lucu bila saya kembali ke sana apabila saya berjalan-jalan dengan ketinggian 1.9 meter. Tetapi suka memanggil Malaysia sebagai 'rumah' saya dan ia pasti menjadi tempat saya membesar yang sangat dibanggakan," katanya.

Pengalaman berada di Asia Tenggara juga membuatkan beliau yang berpangkalan di Plymouth mempunyai perspektif berbeza mengenai acara di Rio dan virus Zika.

"Saya membesar dengan tinggal di negara tropika, demam denggi adalah risiko paling besar dan bapa saya telah beberapa kali dijangkiti, begitu juga abang saya. Saya agak bernasib baik kerana tidak pernah kena," katanya.

"Kita perlu waras dan memakai penghalau nyamuk apabila perlu."

Sumber: mStar