Periuk Panas, Kayu, Jack Kereta Jadi Alat Dera Anak Di Marang


KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki mendakwa menjadi mangsa dera ibu dan bapa tirinya selepas sering dipukul lelaki berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata remaja berusia 17 tahun itu memaklumkan perkara berkenaan kepada doktor yang merawatnya ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pada pukul 4.20 petang semalam.

Menurutnya pemeriksaan lanjut mendapati ada beberapa kesan kecederaan lama pada tubuh mangsa yang tidak bersekolah sejak berumur 13 tahun.

“Sejak bila mangsa menjadi mangsa dera ini masih lagi dalam siasatan kami. Mangsa mendapatkan rawatan berikutan jangkitan kuman pada kedua-dua belah kaki dan kegagalan buah pinggang berfungsi.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang tidak mempunyai kad pengenalan itu tinggal bersama ibu kandung, bapa tiri serta tiga lagi adik beradik lain di Kampung Wakaf Dua, Marang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Abd Aziz berkata mangsa juga mendakwa penjaganya tidak memohon kad pengenalan untuk dirinya.

“Mengikut kenyataan daripada mangsa, dia sering dipukul ibu dan bapa tirinya dengan periuk panas, kayu dan jek kereta.

“Mangsa ini akan didera jika lambat membantu ibunya di kedai makan, namun masalah kesihatan dan penyakit buah pinggang yang dihidapinya menyukarkan mangsa untuk melakukan kerja,” katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan, doktor mengesahkan wujud kesan penderaan daripada bahagian paras pinggang ke atas.

Susulan itu polis telah menahan ibunya yang juga peniaga berusia 34 tahun pada 9.34 pagi tadi manakala bapa tirinya yang berusia 46 diberkas pada 12.10 tengah hari tadi di sekitar Marang untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, kerajaan negeri menyatakan akan memberi bantuan perubatan dan perlindungan kepada remaja terbabit bagi memastikan beliau mampu menjalani kehidupan yang lebih baik selepas ini.

Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud yang mengunjungi remaja itu di HSNZ berkata mangsa masih kelihatan trauma dengan kejadian yang menimpanya, dan selepas ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan bertanggungjawab menjaganya sehingga mangsa mampu berdikari.

“Kerajaan negeri juga akan meneliti bantuan sewajarnya termasuk dokumen pengenalan diri mangsa serta memastikannya menerima pendidikan formal yang sama seperti remaja lain,” katanya.

Roslee berkata kerajaan negeri akan menggunakan saluran dana yang sesuai seperti Tabung Kronik untuk membantu mangsa dera tersebut mendapatkan rawatan terbaik untuk penyakit buah pinggang yang dihidapinya.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara seperti ini kerana penderaan akan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada fizikal mangsa, bahkan mental dan emosi mangsa dalam tempoh jangka masa panjang.

“Saya mohon masyarakat agar lebih mengambil berat dan prihatin dengan kes seumpama ini agar segera tampil melaporkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan mereka yang bersalah dapat dihadapkan ke muka pengadilan untuk menerima hukuman sewajarnya,” katanya. – BERNAMA