Gambar Hiasan |
BERPELUH, gementar, takut, risau dan gelabah.
Tak tahu bagaimana langkah yang harus diatur, bila masanya kepala perlu menunduk hormat, bila masanya tangan perlu dihulurkan dan apa ucapan yang perlu dituturkan setelah anugerah kebesaran disambut tangan. Hati pastinya menyesal seraya berkata:
“Mengapalah aku tidak dipanggil untuk raptai terlebih dahulu?”
Bayangkan bagaimana jadinya jika pada saat akhir anda diarahkan menggantikan orang lain menerima anugerah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong tanpa raptai?
Jiwa tambah bergetar apabila diberitahu upacara yang anda hadiri bakal disiarkan secara langsung di televisyen ke seluruh negara.
Dalam banyak urusan besar di dunia, raptai memang sangat diperlukan bagi mengelak kesilapan yang bakal mengaibkan diri atau melanggar protokol majlis.
Dalam dakwah pun kadangkala perlu ada raptai. Lihat sahaja bagaimana Nabi Musa a.s. diraptaikan dengan dua mukjizat besarnya sebelum berhadapan dengan Firaun.
Mengapa perlu raptai? Jika tiada raptai, sudah pasti Nabi Musa a.s. akan bertempiaran lari terlebih dahulu apabila tongkatnya bergeletik bertukar menjadi ular ajaib.
Jika baginda membuka langkah 1,000 kerana terkejut dengan mukjizatnya, maka cacatlah seruan dakwahnya. Lalu bukan Firaun mendapat hidayah, sebaliknya Musa akan diperleceh Firaun sebagai si kecut perut. Lihat ayat ini:
“Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu (dia pun mencampaknya), maka apabila dia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu dia diseru): Wahai Musa, datanglah ke mari dan janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau daripada orang yang beroleh aman,” (al-Qasas [28:31]).
Bagaimana pula gerak anda apabila menghadap raja segala raja di Padang Mahsyar kelak? Sesungguhnya raptai akhirat lebih utama dijalani. Membaca dan menghayati al-Quran yang sarat dengan berbagai peristiwa akhirat sebenarnya suatu signifikan raptai akhirat bagi orang beriman.
“Dan apabila engkau membaca al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu,” (al-Isra’[17:46]).
Tatkala orang yang mengingkari akhirat berada dalam kegemparan apabila bangkitnya mereka dari kubur, orang beriman yang selalu membaca dan menghayati al-Quran akan berkata dengan tenang:
“Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.“(Pada ketika itu) orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami? (Lalu dikatakan kepada mereka): Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-Rasul!,” (Yasin [36:51-52]).
Firman-Nya lagi:
“Huru-hara besar yang amat mengerikan (pada Hari Kiamat) itu tidak merunsingkan mereka, dan (sebaliknya) mereka disambut oleh malaikat-malaikat dengan berkata: Inilah hari kamu (beroleh kebahagiaan), yang telah dijanjikan kepada kamu (di dunia) dahulu,” (al-Anbiya’[21:103]).
Ayuh semarakkan raptai akhirat dengan tadabbur al-Quran sempena Ramadan yang telah berlalu meninggalkan kita.
Sumber: Utusan