Perpaduan Dalam Kepelbagaian Serlah Pada Syawal Ini


KUALA LUMPUR – Perayaan Aidilfitri membuktikan keunikan dan kelebihan masyarakat Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata sepanjang mengadakan dan menghadiri rumah terbuka Aidilfitri, beliau dapat melihat rakyat negara ini saling memperaga busana tradisional masing-masing, malah turut dihidangkan dengan juadah enak pelbagai kaum.

“Di mana lagi kalau bukan di Malaysia dapat kita lihat begitu banyak kepelbagaian dan perbezaan diraikan bersama dalam perayaan dengan begitu meriah, tanpa mengira bangsa dan agama?

“Bahkan lebih daripada itu, ia tidak terhad semata-mata kepada sambutan Aidilfitri, kita bertuah di Malaysia dapat menyambut enam perayaan utama pelbagai agama dan bangsa di dalam takwim persekutuan, yang mana keenam-enam diraikan oleh seluruh masyarakat tidak kira warna kulit.

“Inilah kelebihan dan keunikan Malaysia, ‘unity in diversity’, bersatu dalam kepelbagaian,” katanya dalam entri blog terbaharu di laman www.najibrazak.com.

Perdana menteri berkata bulan Syawal juga memperlihatkan kemeriahan rumah terbuka yang disulami amalan kunjung-mengunjungi dan saling menziarahi antara anggota keluarga serta sahabat handai, tidak kira jauh ataupun dekat.

Justeru, beliau berharap usaha mengeratkan jalinan silaturahim seperti ditunjukkan semasa perayaan Aidilfitri dapat diteruskan walaupun setelah Syawal berakhir kelak. – BERNAMA