Pesara Tak Puas Hati Pandalela-Jun Hong Dapat Pencen RM3k


SEPERTI diketahui umum, gandingan dua penerjun negara iaitu Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong telah berjaya merangkul pingat perak bagi acara platform berirama 10 meter wanita di Olimpik Rio.

Kejayaan kedua atlet Malaysia ini membolehkan mereka menerima ganjaran wang tunai sebanyak RM600,000 (dikongsi) serta pencen bulanan RM3,000 setiap seorang untuk seumur hidup di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN).

Sehubungan itu, seorang pesara tentera yang dikenali sebagai Rozzeli Pin mempertikaikan ganjaran yang diterima kedua-dua atlet negara itu dengan membuat laporan polis. Bagi dirinya, ramai lagi pejuang negara yang patut diberi ganjaran sebegitu.

Gambar salinan laporan polis yang dibuat oleh Rozzeli mula tersebar di laman sosial sejak semalam dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Dalam laporan polis yang dibuat pada pagi Sabtu itu Rozzeli berkata, adalah tidak wajar memberikan ganjaran pencen RM3,000 seumur hidup kepada dua altet kebangsaan itu.

“Saya mempertikaikan pemberian tersebut dan berasa tidak wajar kerana banyak lagi pejuang-pejuang negara dan bekas kakitangan Angkatan Tentera Malaysia dan polis yang berkhidmat dan berjasa tidak diberikan ganjaran sewajarnya,” katanya.


Tinjauan kami di laman sosial mendapati, ada segelintir yang sependapat dengan usul yang dikemukakan pengadu serta sebahagian yang lain mengatakan lelaki berkenaan mungkin cemburu dengan ganjaran yang diterima oleh kedua atlet.

Bagi kami, mungkin pengadu tidak berniat untuk memperkecilkan sumbangan penerjun negara.

Namun harus diingat, untuk negara seperti Malaysia, peluang mendapatkan pingat di Olimpik adalah sesuatu yang sangat sukar selama ini, justeru kalau dalam tempoh puluhan tahun ada seorang dua atlit yang berjaya mengharumkan nama negara, tidak ada salahnya mereka diberikan ganjaran yang lebih sedikit. –Kedahnews.com