PKR Padang Serai Turun Tengok Masalah Limpahan Air Kumbahan

Kawasan tapak pasar pagi dan malam yang didakwa peniaga sering dilimpahi air kumbahan sehingga menyebabkan ketidakselesaan dan penyakit kulit.
KULIM - Masalah yang membelenggu peniaga pasar pagi dan malam di tapak Pasar Padang Serai di sini, mendapat perhatian PKR Padang Serai yang turut membuat pemantauan di situ, pagi kelmarin.

Ketua Cabang PKR Padang Serai, M Karupaiya berkata, sebelum ini peniaga terbabit sudah membuat aduan berkenaan masalah air kumbahan yang sering melimpah dan bertakung di kawasan tapak perniagaan mereka, namun masalah itu belum diatasi.

“Hari ini (kelmarin) saya sendiri turun padang melihat keadaan peniaga yang beroperasi dalam keadaan air kumbahan bertakung di merata tempat di kawasan itu.

“Peniaga sudah membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab setelah sekian lama, namun tiada tindakan diambil sehingga kini,” katanya.

Karupaiya berkata, sebagai pemimpin setempat, beliau akan membuat aduan dan menggesa pihak terlibat supaya segera menyelesaikan masalah itu.

“Kita faham situasi peniaga di sini, bukan mereka sahaja yang kurang selesa, malah pengunjung juga begitu.

“Air kumbahan ini kotor dan boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit jika dibiarkan berterusan,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kuih, Che Yon Din, 46, berkata, masalah itu turut menimbulkan ketidakselesaan kepada pelanggan di tapak pasar berkenaan.

“Masalah ini dah lama berlarutan, pagi-pagi kalau nak berniaga, kami terpaksa sapu dulu untuk tolak air itu supaya tak bertakung.

“Malah untuk datang ke gerai kami, pelanggan terpaksa lalu kawasan yang dilimpahi air kumbahan berkenaan. Itu kalau mereka tak kisah.

“Kadang-kadang ada pelanggan tak jadi datang ke gerai kami sebab tak nak lalu kawasan berair, sekali gus menjejaskan pendapatan kami,” katanya.

Manakala bagi peniaga buah, Norhisham Hashim, 50, berkata, air kumbahan di kawasan itu melimpah keluar tidak kira masa dan berbau busuk.

“Kalau tak hujan pun dia ada juga bertakung merata tempat. Bau busuk pula. Kami dah tak tahan, berapa lama lagi kami kena bertahan hadapi keadaan seperti ini,” katanya.

Katanya, air kumbahan itu juga menyebabkan masalah kulit kepada peniaga di kawasan ini, malah mereka terpaksa menanggung rugi.

“Tengok kaki saya, berpunca daripada luka kecil kini terus merebak sehingga terpaksa dirawat dan bercuti dua minggu.

“Rugi lah saya. Nak elak macam mana lagi kalau setiap kali kami nak berniaga, air sedia bertakung di tapak niaga,” katanya.

Tambahnya, sudah beberapa kali aduan dibuat kepada pihak berkenaan, namun tiada tindakan dilakukan.

“Kami bayar duit tapak seperti biasa, tapi bila minta selesai masalah kami, tak ada apa pun tindakan diambil, sampai bila lagi kami nak bersabar dan buat tak kisah saja, ini faktor kebersihan, kesihatan dan keselesaan peniaga,” katanya.

Manakala peniaga pasar malam, Razak Sultan, 40, berkata, penutup pembentung kumbahan itu rosak, namun tidak diganti baharu dan ada individu meletakkan batu besar bagi menghalang orang ramai terjatuh.

“Mungkin sebab itu juga air kumbahan tak dapat mengalir lancar ke loji dan tersekat sehingga melimpah ke kawasan tempat niaga kami,” katanya.

Sumber: Sinar Harian