Pokemon Go Bawa Mudarat - Mufti Pulau Pinang


BUKIT MERTAJAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor pada Ahad menyifatkan Pokemon GO sebagai permainan yang membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.

Beliau berkata, kajian oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang mendapati bahawa kesan negatif permainan itu mengatasi kesan positif.

Bagaimanapun beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang hanya akan membincangkan mengenai kemungkinan mengeluarkan larangan terhadap permainan itu jika terdapat aduan orang ramai atau jika dicadangkan oleh mana-mana ahli jawatankuasa itu.

"Kami belum membincangkan perkara itu, tetapi saya sedar bahawa permainan ini mempunyai akibat yang berbahaya kerana ia boleh membawa kepada jenayah dan pelanggaran privasi.

"Kami akan tunggu dan lihat dahulu dan jika terdapat aduan, maka kita akan membincangkan tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen 'Keluarga Sejahtera' di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Permatang Pauh di sini, Ahad.

Pokemon GO, yang dibangunkan oleh Niantic Incorporation of Nintendo USA telah mencetuskan gelombang baharu permainan realiti dalam sejarah aplikasi telefon pintar.

Permainan ini membolehkan pemain untuk memburu, melawan dan melatih watak-watak Pokemon maya berdasarkan lokasi dunia sebenar yang dikesan melalui telefon pintar mereka.

Pada Sabtu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menasihatkan umat Islam supaya tidak bermain Pokemon GO atas prinsip maslahah (kepentingan awam).

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lalu. -Bernama