Pokemon Go: Belum Putus Pekeliling Khusus Untuk Penjawat Awam


PUTRAJAYA – Kerajaan belum memutuskan untuk mengeluarkan pekeliling khusus berkaitan permainan Pokemon Go untuk penjawat awam, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau menegaskan penjawat awam tidak dibenarkan bermain apa-apa permainan termasuk permainan dalam talian pada waktu bekerja.

“Kita tunggu… kita akan lihat dulu apakah impaknya,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan pekeliling berhubung permainan itu untuk penjawat awam.

Ali ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) mengenai Produktiviti Sektor Awam, di sini semalam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Permainan realiti berperantara berasaskan lokasi yang dibangunkan Niantic Incorporation of Nintendo USA itu yang kini menjadi kegilaan masyarakat global, mula memasuki Malaysia Sabtu lepas dan telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata karakter Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor ‘maslahah’ dan kemudaratan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga dilaporkan berkata aplikasi permainan maya itu akan dihalang penggunaannya jika didapati mempunyai unsur perjudian dan pengintipan yang mengancam keselamatan negara.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu, Ali berkata adalah amat penting bagi sektor awam untuk mengukur prestasinya berdasarkan keefisienan pengunaan sumber.

“Lagi tinggi tahap keefisienan dalam peraturan, prosedur dan perkhidmatan penyampaian kerajaan, lagi tinggi sumbangannnya untuk memacu pertumbuhan, kemakmuran dan kemajuan sosial.

“Tahun lepas, perbelanjaan sektor awam adalah hampir 14 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menggaji hampir 11.5 peratus daripada jumlah tenaga kerja. Prestasi sektor itu mempunyai impak amat signifikan dalam memacu keseluruhan produktiviti negara,” katanya.

Ali memberitahu persidangan bahawa Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang menjalankan kajian perintis untuk mengukur produktiviti perkhidmatan awam, bertujuan mengenal pasti input yang boleh digunakan bagi peruntukan bajet dan penilaian program-program kerajaan.

Tiga sektor utama iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan dan keselamatan dipilih bagi projek perintis itu berdasarkan perbelanjaan mereka yang tinggi dari segi emolumen, katanya.

Kajian itu mengguna pakai metodologi Pejabat United Kingdom bagi Statistik Kebangsaan dan Suruhanjaya Produktiviti Kerajaan Australia (AGPC) untuk mengukur produktiviti dan prestasi.

“Bagaimanapun, didapati bahawa mengukur hasil perkhidmatan dalam kerajaan memberikan cabaran dalam membuat anggaran produktiviti sebenar. Masih ada ruang bagi penambahbaikan ke atas metodologi yang diguna pakai,” katanya dan menurutnya Malaysia akan menjalankan kajian susulan pada tahun ini yang akan lebih menumpukan untuk menggabungkan aspek kualiti untuk pengukuran itu.

Ali berkata Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) untuk mencari kaedah mengukur produktiviti dalam sektor awam.

Sebanyak 250 peserta terdiri daripada pegawai kerajaan dan pakar dari Australia, Jepun, Singapura, Filipina dan Thailand selain Malaysia menghadiri persidangan itu yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti sektor awam menerusi perkongsian ilmu dan kerjasama antarabangsa. – BERNAMA