Pokemon Go: Penjawat Awam Negeri Lebih Tahu Etika Kerja - MB Kedah


ALOR SETAR - Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yakin penjawat awam di negeri ini lebih tahu tentang etika dan tanggungjawab mereka untuk tidak melakukan sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan tugas harian yang dipertanggungjawabkan.

Justeru itu, Menteri Besar Kedah itu menjelaskan bahawa pihak Kerajaan Negeri tidak perlu mengeluarkan sebarang pekeliling untuk mengingatkan mereka supaya tidak bermain "Pokemon Go" ketika waktu pejabat.

"Bukan setakat main yang itu (Pokemon Go) sahaja, main yang lain pun tak boleh di waktu masa bekerja.. bukan hanya main Pokemon Go saja tak boleh.

"Pegawai-pegawai kerajaan lebih maklum mengenai dengan tugas dan tanggungjawab mereka.

"Kita tak perlu keluarkan arahan, mereka lebih memahami tugas dan tanggungjawab sebagai penjawat awam," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri di Wisma Darul Aman, pagi tadi.

Selain itu, Ahmad Bashah turut meminta supaya umat Islam menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri yang memutuskan hukum haram terhadap permainan aplikasi Pokemon Go yang diumumkan Mutfi Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad, semalam.

"Kita terima keputusan daripada Mufti, kita terima keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang dipengerusikan oleh Mufti Kedah," katanya. 


Namun jelasnya mengenai penguatkuasaan dari sudut pengharaman itu hanya boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk bertindak selari dengan fatwa tersebut.

Menteri Besar itu turut bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya pihak pengurusan masjid di negeri Kedah akan meletakkan papan tanda melarang aktiviti permainan Pokemon Go dilakukan di kawasan terbabit.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah kelmarin memutuskan permainan Pokemon Go adalah haram untuk umat Islam kerana dilihat banyak mendatangkan kemudaratan.

Mufti Kedah berkata, hasil perbincangan jawatankuasa itu, mesyuarat merumuskan bahawa permainan Pokemon Go wajar dihalang, disekat serta dilarang kerana ia jelas mendatangkan kemudaratan kepada pemainnya.

“Perkataan halang, larang dan sekat ini sudah memberi erti haram malah lebih daripada itu …kalau haram sahaja tetapi tidak sekat orang akan main juga, jadi kita mahu lebih daripada itu.

“Jadi, kita mahu ia dihalang dan disekat oleh orang yang mempunyai kuasa terhadap perkara ini,” tegasnya. -Kedahnews.com