Polis Kedah Giat Kesan Individu Terlibat DAESH


ALOR SETAR – Polis Kedah kini giat menjalankan usaha mengesan individu yang terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh selepas negeri ini dipercayai menjadi antara lokasi merekrut anggota kumpulan itu.

Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya berkata sehingga kini, seramai 192 orang telah ditahan di seluruh negara kerana terlibat dengan Daesh dan daripada jumlah tersebut, 35 orang adalah dari negeri jelapang padi itu.

Beliau berkata pada Jun lepas, dua anggota polis berpangkat koperal telah ditahan di Kuala Muda dan Yan kerana didapati menyertai Daesh selain polis turut menahan 11 individu dari Kedah yang disyaki terlibat dalam serangan letupan bom di Puchong, Selangor pada 28 Jun lepas.

“Kedah sekarang menjadi tapak untuk penyemaian militan, dulu buat secara usrah sekarang lebih kepada penggunaan internet untuk menyalurkan ideologi mereka (Daesh),” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.

Beliau berkata penggunaan internet membolehkan militan Daesh menyebarkan dakyah dan merekrut lebih ramai anggota termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman.

Dalam perkembangan lain, Zamri berkata penambahan penanaman ketum bakal meningkatkan penyalahgunaan bahan itu khususnya di kalangan golongan belia.

Beliau berkata harga pasaran dadah yang tidak menentu dan mahal membuatkan penagih menjadikan ketum sebagai alternatif berikutan ia mudah didapati dan murah.

“Penagih gemar menggantikan ketum dengan dadah lain kerana mereka lebih senang untuk khayal apabila air ketum yang diminum ditambah dengan beberapa bahan terlarang,” katanya.

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebelum ini ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman daun ketum secara berskala besar bagi memenuhi permintaan industri farmaseutikal dari negara luar.

Katanya sekiranya tanaman itu dikomersialkan, ia dibimbangi menyebabkan lebih ramai golongan belia terlibat dalam penyalahgunaan ketum. – BERNAMA