Polis Kedah Pantau Rapat Ideologi DAESH

Zamri (kiri) membuat penyampaian Sijil Watikah Pelantikan kepada Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Abd Hadi Hassan (kanan).
ALOR SETAR - Fahaman militan Daesh kini boleh diikuti dengan mudah menerusi maklumat dari laman sesawang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, gaya penyebaran fahaman berkaitan militan  telah berubah, yang mana kini lebih kepada saluran maklumat internet.

“Jika dahulu, penyemaian ideologi militan dilakukan melalui usrah, bagaimanapun sekarang  pendekatan berbeza digunakan.

“Mereka terlibat akan melayari laman sesawang berkaitan militan untuk melihat tokoh diikuti,  sebelum tertarik pada ideologi dan melibatkan diri dalam Daesh,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di Dataran IPK Kedah, kelmarin.

Menurut Zamri, mereka akan berkomunikasi dan menunggu arahan aktiviti yang perlu dilakukan dalam negara.

"Mereka tidak bertemu secara bersemuka, misalnya melalui perjumpaan fizikal usrah ataupun tamrin, sebaliknya berinteraksi dan menerima arahan ketua melalui internet," katanya.

Katanya, penduduk di pedalaman Kedah juga tidak terkecuali mendapat maklumat berkaitan militan Daesh di internet dengan menggunakan pusat siber kawasan itu.

Sehubungan itu, beliau berkata,  pihaknya memandang serius ancaman Daesh memandangkan kira-kira 75 orang dari 192 individu ditahan di seluruh negara berasal dari Kedah.

Jelas Zamri lagi, 75 individu tersebut termasuklah 11 orang daripadanya ialah mereka yang disyaki terlibat dalam insiden serangan bom di Puchong, Selangor  sebelum ini.

Sumber: Sinar Harian