Polis Tak Boleh Tangkap Ananda Tanpa Perintah Mahkamah


SHAH ALAM – Polis tiada sebab untuk menahan Tan Sri Ananda Krishnan dan seorang pegawai kanan syarikatnya berhubung kes pengubahan wang haram di India melibatkan seorang bekas menteri telekomunikasi di negara itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya tidak boleh membuat sebarang tangkapan tanpa mendapat perintah terlebih dahulu daripada mahkamah negara ini.

“Kami tidak boleh bertindak ke atas waran tangkap kerana tiada perjanjian dari segi undang-undang dengan pihak polis India. Tanpa perintah mahkamah polis tidak boleh menahan mereka.

“Memandangkan kes ini berkaitan dengan saman sivil, mereka (India) perlu memohon kebenaran daripada mahkamah di negara ini terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada Selasa.

Beliau mengulas tindakan Biro Penyiasatan Pusat India (CBI) yang dilaporkan memohon supaya waran tangkap berkenaan dikeluarkan.

Menurut laporan media tempatan, CBI mengemukakan permohonan waran tangkap berkenaan kepada mahkamah khas CBI berikutan saman gagal diserahkan kepada pihak yang dikaitkan dengan kes Aircel-Maxis.

Khalid seterusnya berkata, kecuali Brunei dan Singapura, pihaknya tidak boleh berbuat begitu kerana tidak mempunyai perjanjian undang-undang yang berkaitan dengan India.

“Tidak, kami tak boleh bertindak, kerana tidak ada perjanjian atau persetujuan daripada segi undang-undang antara polis sini dan India. Jadi kita tidak boleh bertindak atas waran tangkap yang dikeluarkan itu.

“Mereka (pihak CBI) juga perlu mohon kebenaran daripada mana-mana mahkamah di Malaysia terlebih dahulu sebelum meneruskan tindakan sewajarnya,” katanya.

CBI terdahulu memohon waran tangkap bagi dua rakyat Malaysia yang dituduh terlibat dalam skandal Aircel-Maxis selain dua bekas menteri Telekom India, Dayanidhi Maran dan adiknya Kalanithi Maran.

Permohonan itu dibacakan oleh agensi siasatan dihadapan hakim khas OP Saini menyatakan saman yang dikeluarkan kepada Ananda dan seorang lagi warga Malaysia, Augustus Ralph Marshall tidak dilayan.

Selain adik-beradik Maran, Krishnan dan Marshall, mahkamah menamakan empat syarikat, iaitu Sun Direct TV Pvt. Ltd., Maxis Communication Berhad, Asia Selatan Hiburan Holding Ltd. dan Astro All Asia Network PLC sebagai tertuduh dalam kes itu. – Agensi