Polis Tangkap "Hantu" Letak Air Kencing Depan Rumah

BEIJING – Betapa terkejutnya seorang warga emas di China apabila sering menemui kantung plastik berisi najis dan air kencing di depan pintu apartmennya di bandar raya Dali, wilayah Yunnan dekat sini.

Pada awalnya, mangsa yang hanya dikenali sebagai Yang hanya bertindak membersihkan kotoran tersebut dan membuangnya ke tempat sampah. Namun, situasi aneh tersebut terus berulang selama tujuh bulan.

Peristiwa ini bermula pada Januari lalu ketika Yang menerima sebungkus surat daripada individu tidak dikenali yang mengandungi amaran bahawa dia akan dihukum kerana mencampuri urusan rumah tangga orang lain.

Yang kemudian cuba membalas surat tersebut dan meminta agar mereka dapat bertemu secara langsung dengan dirnya supaya dapat menjelaskan situasi berkenaan tetapi pelawaan itu tidak pula berbalas.


Sejak waktu itulah teror kotoran dan air kencing manusia terus berlaku. Kesal kerana sering diganggu, Yang kemudian memasang kamera litar tertutup (CCTV), namun kamera itu dirosakkan pada Julai lalu.

Meskipun rosak, kamera tersebut berhasil merakam susuk ‘hantu’ seorang lelaki yang didapati mengendap curi di koridor apartmen kediamannya sebelum menaruh kotoran manusia di depan pintu rumah Yang.

Si ‘hantu’ itu dipercayai manusia yang menyamar dengan mengenakan topeng muka manakala tubuhnya dibungkus jubah putih, memakai kasut berwarna merah menyala dan rambut palsu panjang berwarna hitam.

Hasilnya, Yang kemudian melaporkan masalah ini kepada pihak polis dan pada 3 Ogos lalu, pihak berkuasa berjaya menangkap sang hantu yang sebenarnya adalah seorang lelaki berusia 42 tahun.

Motif tindakan suspek ini masih disiasat oleh polis dan untuk itu mereka terpaksa menahan secara reman si ‘hantu’ selama 50 hari untuk menjalani pemeriksaan. – Agensi