Rakyat Lebih Penting Dari Politik

Dr Muhamad Khir Toyo bergambar bersama tetamu yang hadir di Majlis Sambutan Aidilfitri di kediamannya
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Muhamad Khir Toyo berkata, buat masa ini beliau belum memikirkan untuk bertukar parti dan baginya Umno masih kekal relevan.

Muhammad Khir berkata, apa yang menjadi matlamatnya kini ialah menjaga soal 'periuk nasi' rakyat dan masa hadapan mereka daripada mencari kepuasaan politik.

"Soal perubahan parti ini saya tidak fikir lagilah, kerana bagi saya kita berkhidmat buat rakyat, hari ini rakyat hidup dalam keadaan susah, kos hidup makin tinggi dan kebimbangan pelbagai isu jadi bagi saya rakyat cukup bimbang hari ini.

"Ini patutnya kita redakan dulu, apa yang penting pihak terlibat perlu memberi jawapan yang tuntas dan pihak yang lagi satu jangan menimbulkan perkara yang tidak betul, dalam keadaan rakyat susah, keliru jadi eloklah kita jernihkan," katanya kepada media, pada Majlis Sambutan Aidilfitri di kediamannya Shah Alam, semalam.


Muhammad Khir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu hala tuju politiknya dan  pandangannya mengenai parti baharu yang akan ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Muhammad Khir menggesa pemimpin politik agar mengurangkan cerita-cerita yang boleh mengelirukan rakyat, dan sekiranya timbul sesuatu isu pihak berkenaan perlulah memberi jawapan yang jelas.

"Kurangkan kekeliruan rakyat... fokus untuk masa hadapan," katanya.

Muhammad Khir merupakan bekas Menteri Besar Selangor (ke-13), beliau menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar, beliau kini merupakan ahli biasa dalam Umno.

Sumber: Sinar Harian