Ratusan Penumpang Air Asia Panik Gara-Gara "Ada Bom Kot?"


PUTRAJAYA – Ancaman bom di dalam sebuah pesawat AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, Selangor memaksa semua penumpang terpaksa diarah dikeluarkan.

AirAsia turut mengesahkan pesawat penerbangan AK423 yang dijadualkan dari Kuala Lumpur ke Banda Acheh, Indonesia pagi 3 Ogos itu, ditangguhkan penerbangannya untuk pemeriksaan keselamatan.

Ia berikutan ancaman bom yang ditimbulkan oleh penumpang pesawat tersebut yang kemudian disahkan sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditemui pemberita sebagai palsu.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, carian bom itu dijalankan pihak berkuasa dan situasi berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard apabila berdepan dengan keadaan seperti itu,” menurut kenyataan AirAsia tersebut.

AirAsia menyatakan pesawat itu diisytiharkan selamat oleh pihak berkuasa dan menyatakan mereka akan membantu penumpang yang terjejas ekoran insiden tersebut dengan sewajarnya.

“Semua penumpang yang menaiki pesawat itu, dikeluarkan dengan selamat,” kata syarikat penerbangan itu dan menambah penumpang yang menimbulkan gangguan itu berjaya ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.


Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan media menyatakan bahawa mereka dimaklumkan oleh syarikat kos rendah itu mengenai ancaman bom di dalam pesawat di klia2.

Pihak MAHB seterusnya menyatakan mereka kini bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan tersebut dan semua pihak berkuasa yang berkaitan.

Ia menyatakan keadaan itu dikendalikan mengikut prosedur operasi standard ketika berdepan dengan situasi berkenaan. dan berkata: “Setakat ini ia tidak menjejaskan operasi penerbangan bagi pesawat lain.”

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi berkata pesawat dengan 123 penumpang dan enam anak kapal itu berpatah balik ketika hendak berlepas kira-kira 7.45 pagi.

Ia susulan seorang penumpang menyebut perkataan bom dan didengari pramugara bertugas. Unit bom dihantar ke lokasi menjalankan pemeriksaan terhadap pesawat dan bagasi, namun tidak menemukan sebarang objek bom.

“Tiada sebarang objek, bungkusan, kotak yang disyaki mempunyai bom dijumpai dan hanya sebutan perkataan ‘ada bom kot’ oleh penumbang terbabit,” kata Abdul Aziz.

Beliau berkata pesawat berkenaan dibenarkan beroperasi dan diserahkan kepada pihak AirAsia manakala seorang penumpang lelaki berusia 76 itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang bagi siasatan.

“Jangan sengaja bergurau menyebut perkataan yang berupa ancaman di lapangan terbang atau dalam pesawat kerana boleh diambil tindakan undang-undang,” tegas Abdul Aziz lagi. – Agensi