SAM Gesa Kedah Henti Tebang Balak

SM Mohamed (tengah) bersama dua pembantunya menunjukkan kemusnahan hutan dan kawasan tadahan air yang terancam di Kedah dipercayai akibat pembalakan.
GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Kedah menghentikan segera aktiviti penebangan balak bagi memelihara hutan.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, ia juga bagi  menjamin sumber bekalan air yang mencukupi di negeri berkenaan.

Katanya, laporan tahunan Jabatan Perhutanan tahun 2015 menunjukkan, kawasan tanah berhutan di Kedah hanya 342,431 hektar iaitu 36.33 peratus daripada keluasan tanah negeri itu.

“Jumlah itu menunjukkan kawasan hutan di negeri Kedah berada pada tahap yang membimbangkan dan  jika tidak dibendung penerokaannya, keadaan akan lebih genting. Tambahan pula, pengarah Jabatan Perhutanan dalam suatu kenyataan akhbar pada Februari lalu menyatakan, lebih 2,000 hektar kawasan hutan simpan Kedah telah diteroka secara haram untuk dijadikan kawasan pertanian baharu.

“Selain daripada mengurangkan jumlah kawasan hutan  yang mengancam kepelbagaian biologi dan hidupan liar, penebangan hutan turut memberi kesan kepada sumber air serta menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh. Walaupun krisis air di Kedah tidak terlalu meruncing, namun SAM kesal kerana sehingga kini, tidak ada langkah-langkah dan perancangan berkesan yang dibuat oleh pihak kerajaan negeri itu bagi menangani isu tersebut,” katanya.

SM Mohamed berkata, selain ancam alam sekitar, pembalakan telah menjejaskan kehidupan ribuan pengguna air termasuk pesawah yang mengusahakan tanaman padi.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kejadian banjir kilat kerap berlaku dan melanda kampung yang berhampiran kawasan pembalakan. Ia  menyebabkan penduduk-penduduk yang terlibat mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda dan kawasan pertanian. Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati, aktiviti pemusnahan hutan untuk perladangan dan pembalakan menyebabkan kawasan tadahan air terjejas dan sumber bekalan air masyarakat dicemari lumpur.

“Penduduk di Kampung Ulu Mahang di Kulim dan Kampung Teluk Teduri di Baling turut bimbang apabila bekalan air dari sumber hutan simpanan berdekatan kampung mereka akan terjejas akibat pemusnahan hutan di situ. SAM juga mendapati bukit-bukit yang diteroka dibiarkan begitu lama menyebabkan berlaku hakisan tanah ketika hujan. Ia menjejaskan sistem saliran dan sungai-sungai di negeri ini menjadi cetek akibat mendapan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian